REEZAL mahu PSM dipulihkan dengan penambahbaikan.
REEZAL mahu PSM dipulihkan dengan penambahbaikan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Cadangan penubuhan persatuan sepak takraw baharu oleh kumpulan G11 yang dikenali sebagai Gabungan Sepaktakraw Malaysia (GSM) bagi menggantikan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak berbangkit dan tidak akan diteruskan.

Pesuruhjaya Sukan (PJS) menerusi satu kenyataan hari ini berkata, ia selaras dengan gesaan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican supaya PSM dipulihkan dengan membuat penambahbaikan.

"PJS sudah mengadakan beberapa siri perbincangan dan rundingan bersama PSM dan wakil G11 mengenai langkah-langkah pemulihan PSM, termasuklah membuat semakan dan pindaan Perlembagaan PSM.

"PJS diberi amanah untuk menerajui semakan semula perlembagaan PSM. Dua sesi rundingan bersama PSM dan wakil G11 diadakan pada 17 dan 28 Jun 2021 bagi memperkemaskan dan menambah baik perlembagaan PSM.

"Rundingan itu berjalan dengan lancar dalam suasana yang amat harmoni. Kedua-dua pihak amat komited dan bersatu hati untuk melakukan pembaharuan demi kepentingan dan kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw," katanya.

Jelas kenyataan itu, berdasarkan perbincangan dan persetujuan bersama PSM dan wakil G11 pada 28 Jun 2021, draf akhir perlembagaan sudah dikemukakan kepada kedua-dua pihak pada 22 Julai 2021.

"PSM disarankan untuk mengambil tindakan selanjutnya supaya draf akhir perlembagaan dibentangkan dan diperakukan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM). PJS juga memberi taklimat mengenai draf akhir perlembagaan kepada presiden dan wakil G11 menerusi satu sesi khas pada 11 Ogos 2021.

''Taklimat itu bertujuan memberi penerangan dan penjelasan mengenai draf perlembagaan PSM baharu meliputi fasal-fasal baharu, pindaan-pindaan dan justifikasi ke atas pengubahsuaian yang dicadangkan. Sesi itu dihadiri oleh 10 persatuan sepaktakraw negeri," katanya.

Menurut kenyataan itu, semua presiden dan wakil G11 yang hadir secara dasarnya bersetuju dan menerima baik draf akhir perlembagaan PSM yang dibincangkan dan dipersetujui pada 28 Jun 2021 dan mengharapkan pindaan perlembagaan itu dipersetujui sebulat suara dan tiada sebarang pindaan dibuat semasa EGM.

"Susulan keputusan Majlis Tertinggi PSM pada 29 Jun 2021 ke atas surat penarikan diri G11 sebagai ahli gabungan, PSM pada 13 Ogos 2021 mengesahkan bahawa G11 masih lagi ahli gabungan PSM.

''Oleh itu sebagai ahli gabungan PSM, G11 perlu memainkan peranan dantanggungjawabnya dalam EGM itu nanti. Sekiranya langkah yang digariskan dipatuhi dan berjalan lancar, kita yakin kemelut PSM akan berakhir, PJS bersedia menyokong permohonan PSM menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) bagi membolehkan aktiviti-aktiviti permbangunan sepak takraw digerakkan dengan lebih baik dan meneruskan kesimbungan legasi PSM," katanya.

Semalam bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang juga Naib Presiden Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak), Datuk Seri Zolkples Embong meluahkan rasa kecewa dengan tindakan PJS yang belum lagi meluluskan penubuhan PSM baharu walaupun semua dokumen diperlukan sudah dipenuhi dan diserahkan kepada PJS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 8:35 PM