Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Pembangunan Persekutuan Sepaktakraw Asia, Dr Mohammad Omar harap persatuan sepak takraw baharu segera dibentuk. FOTO Malik Muhamad
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Pembangunan Persekutuan Sepaktakraw Asia, Dr Mohammad Omar harap persatuan sepak takraw baharu segera dibentuk. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Usah berlengah lagi penubuhan persatuan sepak takraw yang baharu," ini saranan daripada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Pembangunan, Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf), Dr Mohammad Omar.

Beliau yang dilantik memegang jawatan itu bagi penggal 2021 hingga 2023 menyarankan agar 12 ahli gabungan sepak takraw baharu atau 'G12' yang menarik diri daripada menjadi ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) perlu segera menubuhkan jawatankuasa demi pembangunan sukan itu di Malaysia.

Tambahnya, beliau juga menyarankan agar Pesuruhjaya Sukan membantu selain segera memberikan 'lampu hijau' kepada G12 menubuhkan persatuan sepak takraw negara agar kemelut itu dapat diselesaikan secepat mungkin lebih-lebih lagi mereka mempunyai majoriti untuk menubuhkan jawatankuasa baharu.

Katanya, penggantungan PSM oleh Astaf sekali gus menyebabkan badan induk sukan sepak takraw negara itu tidak lagi menjadi anggota di peringkat Asia selain melihat PSM akan gagal menjalankan peranannya sebagai persatuan sepak takraw selepas ini kerana sudah disingkirkan.

"Saya mengharapkan Pesuruhjaya Sukan jika permohonan sudah dibuat oleh 'G12' agar dapat memberikan pertimbangan sewajarnya dan segera berkaitan penubuhan persatuan yang baharu, dengan cara itu ianya boleh menyelesaikan kemelut yang melanda PSM.

"Kita tidak mahu kemelut yang melanda sukan sepak takraw Malaysia yang kini berada diranking kedua dunia selepas Thailand berpanjangan kerana ianya boleh merugikan perkembangan sukan itu di Malaysia lebih-lebih lagi PSM kini digantung oleh Astaf.

"Ibaratnya seperti katak di bawah tempurung jika kita tidak berada dan diiktiraf oleh Astaf, apa tidaknya jika badan induk Asia itu mengadakan pertandingan di peringkat antarabangsa, Malaysia tidak boleh sertai kerana sudah digantung, begitu juga jika peraturan baharu diperkenalkan mungkin Malaysia tidak tahu kerana sudah terpisah dengan Astaf.

"Situasi ini sudah pasti menyebabkan Malaysia ketinggalan padahal sepak takraw sukan tradisi negara, seolah-olah tiada martabat, jadi Malaysia perlu ada persatuan yang diiktiraf dan kukuh.

"Campur tangan daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang yakin akan ada formula terbaik untuk menyelesaikan kemelut melanda kepimpinan PSM juga dilihat tepat dan jalan terbaik kerana isu itu sudah berlarutan lebih sebulan sebelum kemuncaknya Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail meletak jawatan," katanya.

Sebelum ini PSM didapati bersalah kerana melanggar perjanjian bertulis yang diberikan kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf pada 14 Mac 2008, iaitu: 'untuk menyokong Istaf dan Astaf dalam mewujudkan dan mengekalkan pentadbiran persekutuan itu yang cekap.

'Ahmad atau lebih mesra dipanggil Tok Mat juga dijatuhkan hukuman penggantungan selama 15 tahun oleh Astaf apabila didakwa menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Astaf pada 24 Februari.

Tindakan Ahmad mengambil pendekatan untuk berdiam diri terhadap tempoh rayuan 14 hari, selain arahan untuk melunaskan kos perbicaraan ke atasnya yang berjumlah AS$25,000 (RM103,625) diputuskan Astaf sejak 6 Mei tidak dijelaskan, membawa padah apabila tempoh hukuman penggantungannya ditambah dua tahun lagi menjadikan 17 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:18 PM