Presiden PSNT, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (duduk tiga kanan) bersama barisan ahli jawatankuasanya selepas Majlis Penutupan Bengkel NLP. FOTO Malik Muhamad
Presiden PSNT, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (duduk tiga kanan) bersama barisan ahli jawatankuasanya selepas Majlis Penutupan Bengkel NLP. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) meletakkan harapan tinggi agar Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kembali diiktiraf sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) selepas disingkirkan badan induk Asia itu pada Jun lalu.

PSNT juga turut mengharapkan tiga ahli gabungan iaitu Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepaktakraw Negeri Sarawak (PSS) dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap), yang kekal dengan pendirian untuk 'bercerai' dengan PSM agar kembali bersama badan induk sukan sepak takraw negara itu demi pembangunan sukan tradisi itu.

Presiden PSNT, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menjelaskan PSM perlu diterima semula Astaf demi pembangunan sukan itu di rantau Asia selain bagi memastikan pemain skuad negara mampu mengembangkan lagi sayap ke pentas antarabangsa selepas 'dibekukan' berikutan PSM digugurkan daripada badan induk Asia itu.

"Saya yakin dan percaya jika PSM kembali fokus dan ditambah dengan hala tuju baharu serta jelas, ahli gabungan yang keluar itu akan kembali bersama PSM.

"Saya juga yakin dan percaya apabila PSM berwajah baharu, Astaf akan kembali menerima semula badan induk itu demi melaksanakan agenda sukan sepak takraw negara.

"Jadi harapan kami, badan induk Asia itu dapat 'mengampunkan dosa' PSM dengan menerima kembali persatuan itu menjadi ahli 'keluarga' Astaf, ibaratnya buang yang keruh ambil yang jernih," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Bengkel NLP Pemantapan Biro-Biro PSNT dekat sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau yang baharu mengambil alih jawatan presiden PSNT berkata, jika Astaf kekal dengan pendirian menggugurkan PSM daripada Astaf, ianya bukan sahaja merugikan pembangunan sepak takraw negara, malah sukan sepak takraw rantau ini bakal malap kerana Malaysia antara salah satu negara kuasa dalam sukan itu selain berjaya melahirkan pemain berkaliber sebagaimana Thailand.

"Jika PSM tidak diiktiraf Astaf, ini bermakna pasukan kita hanya boleh beraksi dalam negara sahaja, jadi situasi ini sudah tentu merugikan pembangunan sukan sepak takraw negara dan rantau Asia," katanya.

Ketika ditanya adakah wajar PSM ditukar kepada nama baharu, beliau menjelaskan PSM adalah sebuah persatuan yang masih sah dalam negara, cumanya di peringkat Asia pasukan negara tidak boleh sertai kejohanan.

"Jadi pandangan saya untuk menubuhkan persatuan yang baharu lagi sukar berbanding persatuan sedia ada, jadi kita perlu perbetulkan persatuan sedia ada supaya lebih mantap, saya juga yakin dan percaya Astaf dan PSM dapat mencari titik penyelesaian terbaik sekali gus dapat memulihkan imej yang tercemar, jadi kita tunggu dan lihat Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 30 Oktober ini yang memberi fokus untuk membincangkan dan meminda perlembagaan baharu," katanya.

Pada Jun lalu, Gabungan 12 Persatuan Sepaktakraw Negeri atau G12 mengumumkan penarikan diri daripada bergabung dengan PSM selepas kemelut yang melanda badan itu dengan Astaf.

Bagaimanapun surat rasmi yang dihantar Kumpulan G12 untuk keluar daripada ahli gabungan PSM ditolak badan induk itu sekali gus menyaksikan kumpulan itu masih kekal menjadi ahli gabungan sah dalam PSM.

Jawatankuasa Disiplin Astaf menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan badan induk itu berkuatkuasa serta-merta selepas didapati bersalah susulan tindakan Presiden PSM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Astaf menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Februari lalu.

Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Bekas presiden PSM itu turut dihukum gantung selama 15 tahun oleh Astaf selepas didakwa atas empat pertuduhan termasuk pelanggaran Artikel 5.5 undang-undang Astaf selepas menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dengan harapan mendapat campur tangan berhubung pemilihan Astaf pada Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 2:16 PM