ARYNA tersingkir di pusingan ketiga Terbuka Perancis. FOTO AFP
ARYNA tersingkir di pusingan ketiga Terbuka Perancis. FOTO AFP
AFP

Paris: Pilihan ketiga, Aryna Sabalenka tersingkir di pusingan ketiga Terbuka Perancis selepas tumpas di tangan wakil Russia, Anastasia Pavlyuchenkova, menyaksikan hanya Serena Williams saja pemain ranking tertinggi di kejohanan berkenaan.

Anastasia pilihan ke-31 mencatat kemenangan 6-4, 2-6, 6-0 dan akan berdepan Victoria Azarenka untuk mencari slot ke suku akhir.

Aryna menyertai pemain pilihan utama, Ashleigh Barty dan pilihan kedua, Naomi Osaka yang meninggalkan kejohanan di minggu pertama.

Sebelum ini Aryna pernah menumpaskan Anastasia sebulan yang lalu di suku akhir Terbuka Madrid.

Saingan perseorangan wanita tahun ini menyaksikan juara 2019, Ashleigh menarik diri di pusingan kedua kerana kecederaan.

Penyandang juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan juara Terbuka Australia, Naomi menarik diri selepas didenda pada pusingan pertama dan diancam akan disingkirkan dari kejohanan di atas tindakannya tidak mahu menyertai sidang media.

Simona Halep, pemain nombor tiga dunia dan juara 2018, langsung tidak menyertai kejohanan ini dari awal di atas kecederaan betis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 11:56 PM