ANASTASIA mampu ke perlawanan akhir Terbuka Perancis jika berjaya mengalahkan Tamara. FOTO AFP
ANASTASIA mampu ke perlawanan akhir Terbuka Perancis jika berjaya mengalahkan Tamara. FOTO AFP
AFP

Paris: Anastasia Pavlyuchenkova mara ke separuh akhir pertama Grand Slam selepas 52 kali percubaan dan berada dalam landasan terbaik untuk layak ke final Terbuka Perancis jika berjaya menumpaskan pemain nombor 85 dunia, Tamara Zidansek dari Slovenia.

Anastasia yang juga pemain nombor 32 dunia menumpaskan rakan segandingan dalam acara beregu, Elena Rybakina 6-7 (2/7), 6-2, 9-7 dalam penampilan pertama suku akhir di Roland Garros sejak 2011.

"Pelbagai emosi dapat dirasai apabila mara ke separuh akhir Grand Slam buat kali pertama.

"Saya sentiasa percayakan sukan ini. Kekuatan mental saya juga semakin bagus sekarang. Saya hanya perlu bermain dengan bijak dan bekerja keras," kata pemain berusia 29 tahun itu yang tumpas di suku akhir kejohanan utama sebanyak enam kali sejak penampilan pertama pada 2007.

Elena menyingkirkan Serena Williams di pusingan sebelum ini dan mendahului 4-1 di set pembukaan.

Anastasia berjaya mematahkan servis lawannya pada permainan ketujuh sebelum mendominasi saingan tiebreak.

Ketika di set penentuan, empat kali servis berjaya dipatahkan dalam enam permainan pertama sebelum Elena terkandas di permainan ke-16, selepas melakukan double fault buat kali keenam.

Sementara itu, Alexander Zverev mara ke separuh akhir pertamanya di Terbuka Perancis selepas menang 6-4, 6-1, 6-1 ke atas wakil Sepanyol, Alejandro Davidovich Fokina.

Pilihan keenam dari Jerman itu akan bertemu Stefanos Tsitsipas yang mengalahkan Daniil Medvedev 6-3, 7-6 (7/3), 7-5.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 2:01 PM