ARYNA mudah mengatasi Evgeniya di pusingan kedua Indian Wells. FOTO Reuters
ARYNA mudah mengatasi Evgeniya di pusingan kedua Indian Wells. FOTO Reuters
AFP

Indian Wells, Amerika Syarikat (AS): Juara Terbuka Australia, Aryna Sabalenka mara ke pusingan ketiga tenis Indian Wells WTA dan ATP Masters 1000, hari ini, selepas menang 6-2, 6-0 ke atas pemain Rusia, Evgeniya Rodina.

Aryna yang beraksi di kejohanan kedua sejak memenangi trofi Grand Slam pertama di Melbourne pada Januari lalu, hanya memerlukan 65 minit untuk menyingkirkan Evgeniya, yang bermain perlawanan kelapan sejak Terbuka AS tahun lalu selepas berehat selamat tiga tahun kerana bersalin kali kedua.

Aryna mengakui dia tidak ingat pernah menentang Evgeniya sebelum ini di Tashkent pada 2017, tetapi berpuas hati kerana terus mara di kejohanan yang menyaksikan dia tidak pernah melepasi peringkat 16 terbaik.

Evgeniya yang menyingkirkan pemain Perancis, Alize Cornet di pusingan pertama, jelas tidak mampu mencabar.

Aryna yang masih dilarang beraksi menggunakan bendera negaranya iaitu Belarus berikutan penaklukan Rusia ke atas Ukraine akan berdepan pemain Ukraine, Lesia Tsurenko yang menewaskan pemain pilihan ke-29 dari Croatia, Donna Vekic 2-6, 6-2. 6-2.

Lesia pernah memenangi empat gelaran WTA dan mara ke final Terbuka Thailand pada awal Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 8:09 AM