Atlet pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi meraih pingat emas dalam acara 100 meter lelaki di Sukan Sea ke-30 Filipina.
Atlet pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi meraih pingat emas dalam acara 100 meter lelaki di Sukan Sea ke-30 Filipina.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kembali menuntut ilmu bersama jurulatih yang membawanya bergelar Raja Pecut Asia Tenggara, Mohd Poad Md Kassim memberi satu aura positif buat pelari pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi.

Haiqal kini kembali bersemangat untuk memburu tempat ke temasya dwi tahunan, Sukan Sea Vietnam hujung tahun ini biarpun ia menuntut satu kerja keras iaitu melepasi catatan masa 10.52 saat(s).

Namun dengan sentuhan Poad, Haiqal yang meraih emas di Sukan Sea Filipina dalam acara riben biru dengan catatan 10.35s yakin dia masih mempunyai peluang cerah ke temasya berkenaan.

"Alhamdulillah. Saya rasa gembira dapat kembali bersama coach Poad yang disayangi selepas lapan bulan saya dan Hafiz (Khairul Hafiz Jantan) tinggalkan beliau.

"Saya harap, saya dapat kembali rentak saya seterusnya layak ke Sukan Sea Vietnam dengan sasaran utama adalah cuba mempertahankan emas yang dimenangi," katanya yang kembali berlatih secara rasmi di bawah bimbingan Poad Rabu lalu.

Keupayaan Haiqal akan diuji di Terbuka Malaysia, Jun ini dengan dia menyasarkan untuk cuba merekodkan 10.40s.

Kali terakhir, Haiqal beraksi adalah di kejohanan simulasi yang dianjurkan tahun lalu.

Dia menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa 10.65s di belakang seorang lagi jaguh pecut negara, Jonathan Nyepa 10.60s yang muncul juara.

Namun atlet kelahiran Negeri Sembilan itu tidak beraksi di Grand Prix Malaysia bulan lalu kerana mengalami kecederaan.

Terdahulu Haiqal dan The Speedy Jantan memilih untuk meninggalkan Bukit Jalil dan Dwayne Miller untuk kembali kepada 'sifu' mereka di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) selepas merasakan bahawa Poad mampu membimbing mereka kembali menyengat.

Sentuhan Poad amat penting bagi kedua-dua pelari pecut Asia Tenggara itu yang kini menaruh harapan melepasi syarat kelayakan ke Sukan Sea Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 8:34 PM