Atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan. FOTO File NSTP
Atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Dua pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi akan memulakan latihan secara rasmi di bawah kendalian jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim esok.

Surat rasmi akan dikeluarkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan kedua-dua pelari pecut negara itu yang kini berada di kampung halaman masing-masing akan kembali menjalani latihan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Kata Poad, beliau tidak mahu membuang masa lagi dengan sesi latihan membabitkan kedua-dua atlet berkenaan akan terus dimulakan.

"Saya akan teruskan dengan perancangan saya untuk mempersiapkan diri mereka di Terbuka Malaysia Jun ini.

"Mereka tidak perlu mula daripada bawah kerana sebelum ini pun mereka meneruskan latihan seperti biasa di Bukit Jalil.

"Jadi latihan akan diteruskan dengan sasaran utama adalah Terbuka Malaysia nanti," katanya.

Ditanya sejauh mana kemampuan kedua-dua pemenang pingat emas temasya Sukan Sea itu mampu menyerlah terutama dalam acara 100 meter(m), Poad berkata, beliau akan cuba untuk memberikan yang terbaik dan menyasarkan catatan masa terbaik peribadi.

Terdahulu selepas lebih setahun tidak beraksi, Khairul Hafiz memilih untuk beraksi dalam acara 400m di Grand Prix Malaysia manakala Haiqal tidak beraksi di kejohanan berkenaan kerana mengalami kecederaan.

Untuk rekod catatan terbaik Khairul Hafiz dalam acara 100m, adalah rekod kebangsaan 10.18 saat(s) manakala Haiqal merekodkan 10.35s yang dicatatkan ketika meraih emas di Sukan Sea Filipina.

Kali terakhir Khairul Hafiz yang dikenali dengan The Speedy Jantan beraksi adalah ketika meraih raih pingat perak 4x100m Sukan Sea Filipina (Disember) manakala Haiqal beraksi di Kejohanan Simulasi di MSN hujung tahun lalu dengan catatan 10.65s.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 7:01 PM