KHAIRUL Hafiz dijangka bangkit dan kembali merebut gelaran sebagai pelari nombor satu negara. FOTO NSTP
KHAIRUL Hafiz dijangka bangkit dan kembali merebut gelaran sebagai pelari nombor satu negara. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


TAHUN 2019 adalah tempoh yang sukar buat atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan berikutan dibelenggu kecederaan sehingga mengakibatkan dia terlepas peluang mempertahankan emas yang dimenanginya dalam 100 meter di temasya Sukan SEA Manila.

Begitupun pelari muda yang berusia 22 tahun itu dilihat masih bersemangat untuk memburu gelaran apabila memulakan saingan musim ini selepas berehat selama hampir empat bulan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim cukup yakin Khairul Hafiz mampu untuk bangkit dan kembali merebut gelaran sebagai pelari nombor satu negara dan juga raja pecut Asia Tenggara tahun depan.

"Khairul masih lagi di bawah program. Setakat ini dia berada di dalam keadaan terbaik tanpa sebarang kecederaan.

"Namun untuk bercakap mengenai prestasi masih belum boleh beri sebarang komen sebab saya tidak boleh menilai dalam keadaan sekarang ini iaitu selepas PKP.

"Tapi saya yakin dia masih lagi atlet terbaik dan mampu untuk beri cabaran kepada rakan sepelatihnya seperti Haiqal Hanafi," katanya.

Khairul Hafiz bersama Haiqal antara pelari yang berada di bawah bimbingan Poad kembali melapor diri untuk menjalani latihan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) hari ini selepas kerajaan kembali membenarkan latihan tanpa sentuhan bermula secara rasmi 5 Julai.

Pada Sukan SEA Filipina lalu, Khairul Hafiz membantu negara menyumbang pingat perak acara 4x100m lelaki bersama rakan sepasukan iaitu Nixson Kennedy, Russell Alexander Nasir Taib dan raja pecut Asia Tenggara yang baharu, Haiqal.

Tiga tahun lalu Khairul Hafiz menamatkan penantian emas 14 tahun Malaysia dalam acara pecut 100m di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas mencatat 10.38s, mengatasi pemenang emas Singapura 2015 dari Filipina, Eric Cray (10.43s).

Catatan peribadi terbaik yang juga rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz adalah 10.18 saat (s) yang dicipta pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak pada Julai 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 6:16 PM