POAD (kiri) buktikan kemampuan selepas seorang lagi anak buahnya cemerlang di GP Malaysia. FOTO NSTP
POAD (kiri) buktikan kemampuan selepas seorang lagi anak buahnya cemerlang di GP Malaysia. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kewibawaan jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim mungkin tidak perlu dipertikaikan lagi.

Keputusan dua pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi untuk pulang kepangkuannya mungkin keputusan yang tepat kerana beliau sudah membuktikan kemampuannya melahirkan barisan pelari pecut.

Kejayaan Muhammad Arsyad Md Saat membuktikan standard Poad sebagai jurulatih pecut berkaliber. Biarpun tidak dibayar gaji yang tinggi.

Arsyad berjaya mencipta kejutan menewaskan pelari berpengalam untuk meraih emas dengan catatan 10.64s di Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia di Bukit Jalil kelmarin, Jonathan Nyepa di tempat kedua 10.70s manakala pelari muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi ditempat ketiga, 10.85s.

Arsyad mengakui gembira dengan kejayaan itu berkata, sasarannya kini adalah menempatkan diri dalam kelompok terbaik negara sekali gus melayakkan diri beraksi di temasya Sukan SEA Vietnam November ini.

"Saya tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian hari ini (kelmarin). Banyak lagi perkara yang perlu saya perbaiki terutama pada permulaan larian yang dilihat masih belum cukup sempurna.

"Jika boleh saya mahu menjadi seperti Khairul Hafiz dan Haiqal. Berjaya meraih emas di Sukan SEA," katanya.

Berusia 19 tahun, Arsyad berkata, catatan 10.68s itu adalah rekod terbaiknya dan memperbaharui rekod peribadi 10.70s yang dilakukan ketika Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia pada 2019.

"Saya memang gembira dengan pingat emas ini. Tapi semua ini bukan mudah. Ketika semua pulang ke rumah sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) saya tinggal di sekolah, jalani latihan.

"Alhamdulillah usaha itu berbaloi. Selepas ini saya mahu perbaiki lagi catatan masa untuk menempatkan diri ke Sukan SEA.

"Saya yakin ia bukan mustahil kerana saya pegang kata-kata jurulatih saya (Poad) iaitu siapa yang usaha lebih dia akan dapat hasil yang lebih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 11:50 PM