COQUARD terpaksa berganjak ke belakang untuk mendapat tujahan lebih tajam di garisan penamat peringkat pertama Route d’Occitanie. FOTO AFP
COQUARD terpaksa berganjak ke belakang untuk mendapat tujahan lebih tajam di garisan penamat peringkat pertama Route d’Occitanie. FOTO AFP
AFP

PELUMBA pecut Perancis, Bryan Coquard mengetepikan Elia Viviani dari Itali dalam aksi penamat beramai-ramai dalam saingan peringkat pertama perlumbaan Route d'Occitanie di selatan Perancis awal pagi tadi.

Ramai pelumba berkelas dunia mengambil bahagian dalam perlumbaan berkenaan termasuk Egan Bernal dan Chris Froome dari pasukan Ineos, manakala pendaki Perancis, Thibaut Pinot terjatuh di hujung saingan.

"Ia terpaksa menggunakan taktik 'melempar' basikal ke depan," kata Coquard mengenai taktik yang digunakan ketika di garisan penamat apabila mengubah kedudukan ke belakang sebelum membiarkan basikalnya meluru ke depan.

Penyandang juara Tour de France, Bernal menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Dia berkata tujuan utama mengambil bahagian dalam perlumbaan berkenaan adalah untuk merasai semula kenikmatan berlumba dan dalam masa sama memperkemaskan kembali tahap kecergasannya.

"Benda paling utama adalah untuk meluangkan masa. Kami sangat gembira dapat membabitkan diri dalam perlumbaan, melihat pasukan lain dan perkara seumpama itu," kata Bernal.

Juara empat kali Tour de France, Froome menduduki tempat ke-70, 56 saat di belakang Coquard.

Pelumba Britain berusia 35 tahun itu beraksi pada tahun terakhir dengan Ineos apabila dia akan berhijrah ke Israel Start-Up Nation musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 1:47 PM