ANTARA aksi skuad negara bertemu Perancis semalam. FOTO FIH
ANTARA aksi skuad negara bertemu Perancis semalam. FOTO FIH
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kekalahan 1-3 kepada Perancis semalam ternyata satu kerugian buat skuad hoki lelaki negara ketika mereka dalam usaha mendapatkan keputusan positif seterusnya mengintai peluang layak ke separuh akhir saingan Piala Negara-Negara di Gniezno, Poland.

Perkara ini diakui sendiri oleh ketua jurulatih, Sarjit Singh menganggap kekalahan berkenaan ibarat satu peluang keemasan yang dilepaskan anak buahnya untuk setidak-tidaknya mampu mengikat tuan rumah Sukan Olimpik 2024 itu.

"Secara keseluruhan pemain sudah bermain dengan bagus dan menunjukkan komitmen sangat tinggi. Satu kerugian kita tidak dapat sekurang-kurangnya satu mata. Kami dihukum dengan kesilapan kecil," katanya.

Ujar Olimpian 1984 dan 1992 itu, banyak ruang untuk pemain meningkatkan lagi kemahiran selepas mengharungi dua perlawanan setakat ini.

"Kita perlu menganalisis apa yang berlaku dengan lima pukulan sudut penalti yang tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

"Kami tidak ada pilihan lain untuk aksi seterusnya iaitu perlu mengatasi Kanada. Tidak mustahil untuk mereka melakukan sesuatu pada perlawanan terakhir itu dan mentaliti kemenangan perlu diterapkan kepada semua pemain," katanya.

Selepas dua perlawanan Malaysia mengumpul satu mata (selepas seri 4-4 dengan Pakistan) menduduki tangga ketiga Kumpulan B di belakang Perancis yang sudah melayakkan diri ke separuh akhir dan Pakistan pesaing untuk merebut satu lagi slot di aksi empat terakhir.

Jika menumpaskan Kanada dan mengharapkan Pakistan dibelasah Perancis peluang skuad negara untuk ke separuh akhir sedikit cerah namun ia juga bergantung kepada jumlah jaringan serta bolos.

Pakistan yang dibimbing bekas jurulatih negara, Roelant Oltmans menghuni tangga kedua dengan mengumpul empat mata, 12 gol dan lima bolos.

Malaysia akan berdepan Kanada 9.30 malam esok dan jika gagal ke separuh akhir mereka hanya bersaing bagi kedudukan tempat kelima hingga kelapan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 1:05 PM