PEMAIN Everton Arouna Kone (kiri) dikekang pemain Crystal Palace Yohan Cabaye.
PEMAIN Everton Arouna Kone (kiri) dikekang pemain Crystal Palace Yohan Cabaye.

London: Crystal Palace menjarakkan diri 11 mata berbanding pasukan ketiga tercorot Liga Perdana, namun mereka gagal mengambil kesempatan selepas seri tanpa jaringan di laman sendiri dengan Everton yang beraksi dengan 10 pemain, awal pagi semalam.

Dalam pertembungan dua pasukan yang layak ke separuh akhir Piala FA, Everton bermain kurang seorang pemain di Selhurst Park selepas James McCarthy dibuang padang pada awal babak kedua.

Kemenangan pasti menjamin kedudukan Palace di liga utama, namun kelab selatan London itu masih perlu bekerja keras bagi memastikan tempat di Liga Perdana musim depan.

Kemenangan 1-0 ke atas Norwich City Sabtu lalu mencetus kemenangan pertama liga buat Palace pada 2016 dan pengurus Alan Pardew berkata: “Saya meraih empat mata daripada dua perlawanan terakhir ini... tapi kami sepatutnya menang.

“Sekalipun saya kecewa, saya puas hati dengan satu lagi persembahan baik. Saya mahu penyerang saya lebih garang, tapi saya puas hati dengan dua perlawanan tanpa bolos.

“Mata itu amat penting kerana saya fikir tiga pasukan tercorot tidak boleh mengejar kami lagi.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 9:35 AM