OSIMHEN mahu teruskan rekod kecemerlangan Nigeria di AFCON. -FOTO AFP
OSIMHEN mahu teruskan rekod kecemerlangan Nigeria di AFCON. -FOTO AFP
AFP

Abidjan: Pemain Nigeria, Victor Osimhen menyasarkan untuk meneruskan rekod kecemerlangan mereka di Piala Negara-Negara Afrika apabila turun berdepan Afrika Selatan pada aksi separuh akhir Rabu ini, manakala tuan rumah Ivory Coast bertemu Republik Demokratik Congo.

Nigeria satu-satunya pasukan pilihan yang tinggal pada pertandingan itu dan dengan pendekatan yang digunakan oleh jurulatih Jose Peseiro menjadikan mereka begitu kuat di barisan pertahanan.

Sejak seri 1-1 dengan Equatorial Guinea dalam perlawanan pembukaan mereka, Nigeria mencatat empat kemenangan berturut-turut tanpa bolos.

"Jika anda tidak melepaskan gol anda akan sentiasa menang," kata Peseiro selepas kemenangan suku akhir ke atas Angola di Abidjan apabila Ademola Lookman menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan 1-0.

Nigeria yang memegang rekod separuh akhir Piala Negara-Negara buat kali ke-15, menyasarkan untuk menjulang trofi itu buat kali keempat dan pertama sejak 2013 di Afrika Selatan.

Pasukan Afrika Selatan yang mereka akan hadapi di Stade de la Paix di Bouake bagaikan perlawanan ulangan suku akhir 2019 di Mesir di mana Super Eagles menang 2-1 hasil jaringan lewat perlawanan William Troost-Ekong.

Bafana Bafana yang tidak beraksi di AFCON terakhir pada 2022, kembali ke pentas besar itu di bawah jurulatih veteran Belgium, Hugo Broos.

"Saya fikir Nigeria adalah pasukan yang semakin baik dan lebih baik dengan setiap perlawanan," kata Broos.

"Ia sedikit istimewa buat kedua-dua pasukan kerana kami juga perlu bermain antara satu sama lain dalam beberapa bulan untuk kempen kelayakan Piala Dunia, jadi ia boleh menjadi ujian untuk kami semua."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 12:27 PM