KAPTEN Pakistan, Ahmad Butt (kiri) cuba melepasi pemain Kanada, Balraj Panesar pada perlawanan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh, hari ini. FOTO L MANIMARAN
KAPTEN Pakistan, Ahmad Butt (kiri) cuba melepasi pemain Kanada, Balraj Panesar pada perlawanan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh, hari ini. FOTO L MANIMARAN
Saiful Affendy Sapran


Ipoh: Pakistan berada di kedudukan selesa untuk mara ke final Piala Sultan Azlan Shah selepas menundukkan Kanada 5-4, sekali gus kemenangan ketiga mereka daripada empat perlawanan.

Sebelum ini, Pakistan melakar kemenangan 5-4 ke atas juara bertahan, Malaysia serta 4-0 ke atas Korea namun seri 1-1 dengan Jepun.

Ketua jurulatih Pakistan, Roelant Oltmans berkata, anak buahnya berjaya bangkit selepas permulaan agak perlahan.

"Mereka (Kanada) bermain dengan sangat baik dan menyukarkan kami, tetapi kami berjaya bangkit untuk mengutip tiga mata.

"Kami mula merasai tekanan kerana tidak dapat menyempurnakan peluang yang ada. Kami dihadiahkan 11 pukulan sudut penalti dan hanya dapat menjaringkan dua gol sahaja," kata jurulatih Belanda itu pada sidang media selepas tamat perlawanan, hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Kanada, Patrick Tshutshani berkata, anak buahnya mempamer aksi terbaik mereka dalam saingan kali ini walaupun mengalami kekalahan kali keempat berturut-turut.

"Pasukan ini dibarisi ramai pemain muda tetapi mereka beraksi tanpa rasa gementar.

"Kami sedang membentuk pasukan untuk menguji kemampuan mereka, jadi pasti akan berlaku turun naik prestasi," katanya.

Kanada mencetuskan resah Pakistan apabila di depan dengan dua gol menerusi Sean Davis minit ke-5 dan Harbir Sidhu minit ke-17 sebelum Davis menambah gol ketiga minit ke-45 dan jaringan Avjot Buttar minit ke-50.

Gol Pakistan dijaringkan oleh Abu Mahmood minit ke-28, 29; Arshad Liaqat (m-36), Waheed Ashraf Rana (m-44) dan Ghazanfar Ali minit ke-45.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 7:28 PM