DOHYUN menjaringkan empat gol yang memastikan Korea menang 4-1 ke atas Kanada, hari ini. FOTO GENES GULITAH
DOHYUN menjaringkan empat gol yang memastikan Korea menang 4-1 ke atas Kanada, hari ini. FOTO GENES GULITAH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Korea Selatan menghidupkan peluang untuk menempah tiket ke suku akhir selepas menewaskan Kanada 4-1 pada aksi kedua Kumpulan C, Hoki Piala Dunia Remaja, hari ini.

Selepas tewas kepada India pada perlawanan pertama, Korea dilihat benar-benar berusaha untuk memastikan tiga mata penuh milik mereka.

Walaupun ketinggalan menerusi gol padang Robin Thind minit ke-24, tonggak utama Korea, Lim Dohyun umpama beraksi solo apabila meledak keempat-empat gol selepas itu dalam tempoh 10 minit.

Dua gol awal sumbangannya adalah daripada pukulan sudut penalti minit ke-37 dan 38 sebelum pemain berusia 20 tahun itu menambah dua gol lagi menerusi penalti stroke di minit ke-42 dan pukulan sudut penalti empat minit selepas itu.

Ketua jurulatih Korea, Jang Young Seo nyata puas melihat kebangkitan anak buahnya selain mengakui kemenangan hari ini cukup penting untuk pasukannya.

""Tiada pilihan untuk kami melangkah ke separuh akhir selain memenangi perlawanan hari ini, tapi kami bermula agak perlahan dan pada pertengahan permainan barulah pemain mempamerkan aksi agresif.

"Selepas tewas kepada India, saya cuba untuk meningkatkan kembali semangat setiap pemain serta mendapatkan keyakinan mereka semula. Hari ini mereka membuktikannya," katanya.

Korea akan menentang Sepanyol pada perlawanan terakhir Sabtu ini dalam usaha mereka memburu tiket ke suku akhir.

Sementara itu, Pakistan yang dibimbing bekas jurulatih skuad senior negara, Roelant Oltmans meneruskan aksi cemerlang mereka apabila menewaskan New Zealand 4-0 pada aksi kedua Kumpulan D, sekali gus di landasan tepat untuk memburu tiket suku akhir.

Gol Pakistan dijaringkan Arshad Liaqat minit ke-19, 30 dan 54 dengan kesemuanya adalah jaringan padang manakala Hannan Shahid menyumbang satu gol menerusi pukulan sudut penalti minit ke-32.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 4:45 PM