PEMAIN negara Faiz Jali  (kanan) mengasak pemain China di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan. FOTO AFP
PEMAIN negara Faiz Jali (kanan) mengasak pemain China di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan. FOTO AFP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara terus garang di kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) apabila meraih kemenangan kedua selepas membelasah China 5-1, di Chennai, India, sebentar tadi.

Turun selepas segar dengan kemenangan 3-1 ke atas Pakistan pada perlawanan pertama semalam, skuad bimbingan A Arulselvaraj bagaimanapun mencetuskan resah apabila ketinggalan selepas Chongcong Chen meletakkan China di depan seawal minit ke-4.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysian Tigers menggandakan asakan serta memberi tekanan kepada China dan akhirnya usaha itu membuahkan hasil selepas Malaysia dihadiahkan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh penyerang sensasi negara, Faizal Saari minit ke-11.

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meletakkan Malaysia di depan empat minit selepas itu, juga menerusi pukulan sudut penalti namun usaha skuad negara untuk menambah jaringan sebelum berakhir babak pertama tidak berhasil.

Penyerang negara, Muhammad Firhan Ashaari terus mengganas selepas meledak dua gol pada pertemuan dengan Pakistan, semalam, apabila dia turut berjaya menyumbang dua gol pada perlawanan hari ini.

Dia menjaringkan gol padang pada minit ke-45 sebelum terus mengukuhkan kedudukan Malaysian Tigers apabila menambah gol keempat pada minit ke-49.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Najmi Farizal Jazlan melengkapkan hari sempurna untuk skuad negara apabila menyumbang gol kelima minit ke-57.

ACT adalah persiapan terakhir skuad negara sebelum beraksi pada temasya Sukan Asia di Hangzhou, China bermula 23 September sehingga 8 Oktober depan di mana pemenang pingat emas akan meraih tiket automatik ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Skuad negara belum pernah muncul juara sepanjang penampilan di Trofi Juara-Juara Asia sebelum ini dengan pencapaian terbaik adalah tempat ketiga sebanyak lima kali.

Malaysia dijangka berdepan tugas getir apabila akan berdepan pasukan tuan rumah, India, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 10:58 PM