SKUAD negara sedang giat menjalani latihan. FOTO IHSAN MHC
SKUAD negara sedang giat menjalani latihan. FOTO IHSAN MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara akan menampilkan barisan terkuat tanpa sebarang pemain dihimpit dengan masalah kecederaan walaupun sebelum ini keadaan penyerang, Faizal Saari menjadi tanda tanya.

Menurut A Arulselvaraj, beliau boleh menghela nafas lega apabila kembali mendapat khidmat beberapa pemain senior yang sebelum ini dihimpit kecederaan.

"Situasi Faizal akan terus dipantau dan keputusan menyenaraikan 18 pemain terakhir akan dibuat malam ini, pada perlawanan ujian dalam kalangan pemain kita sahaja," katanya ketika ditemui selepas latihan skuad kebangsaan di Stadium Hoki Nasional pagi tadi.

Ujar Arulselvaraj, Malaysia akan tampil di Muscat, Oman pada saingan pusingan kelayakan ke Olimpik Paris di Oman 15 hingga 21 Januari ini, dengan kekuatan penuh tanpa pemain dibelenggu kecederaan.

"Selepas Sukan Asia tekanan lebih tinggi dan saya dan juga pemain belajar sesuatu seperti menguruskan situasi, tekanan dan pembelajaran besar di Sukan Asia. Mungkin terlalu yakin dan sebagainya. Pemain lebih peka dan realisitk yang pemain lakukan.

"Dengan kehadiran lapan pemain remaja, tak pernah mudah untuk kita menyenaraikan 18 pemain ini. Saya ada pendapat saya dan bukan mudah untuk melengkapkan pemain kali ini," katanya.

Bagaimanapun, Arulselvaraj tetap berteka-teki dengan barisan pemain yang akan dibawanya ke Oman sehingga pengumuman dibuat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), esok.

Tambahnya, kehadiran semula pemain senior yang sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan seperti Shahril Saabah, Norsyafiq Sumantri, Fitri Saari, Shafiq Hassan dan Shello Silverius, selain lapan pemain remaja yang menyertai panggilan, mood latihan fasa akhir cukup meyakinkan.

"Mungkin boleh mengagak 15 atau 16 nama, mudah bagi saya dan juga mana-mana jurulatih. Tetapi untuk satu atau dua tempat lagi agak susah kita membuat pemilihan.

"Tetapi 18 pemain yang kita bawa adalah bebas daripada kecederaan," katanya.

Kata Arulselvaraj, selepas memperoleh pengalaman menyertai kejohanan dan perlawanan persahabatan, kesilapan dibuat dalam pasukan perlu diatasi.

"Dalam padang, mereka harus bertanggungjawab kesilapan yang mereka lakukan sebelum ini. Kita banyak habiskan masa untuk melihat video dan mesej buat pemain ialah kurangkan kesilapan individu. Jadi kita kena terus pandang ke depan.

"Sebelum itu juga kita ada ramai pemain yang mengalami kecederaan dan kita berlatih dengan 10 orang. Selepas balik New Zealand, kita ada 20 orang menjalani latihan dan dapat lihat semangat mereka berbeza sedikit," katanya.

Skuad negara dijangka berlepas ke Muscat pada 11 Januari ini dan akan membuka saingan menentang China pada 15 Januari, Great Britain (17 Januari) dan melengkapkan perlawanan kumpulan A menentang Pakistan pada 19 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 3:58 PM