FAIZAL Saari diketepikan skuad kebangsaan ke Muscat. -FOTO NSTP
FAIZAL Saari diketepikan skuad kebangsaan ke Muscat. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih hoki negara, A Arul Selvaraj mengesahkan keputusan dia mengetepikan penyerang, Faizal Saari bagi mengharungi kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman disebabkan kecederaan yang membelenggu pemain itu termasuklah masalah gout dialaminya.

Menurut Arul, beliau tidak boleh mengambil risiko dengan menyenaraikan Faizal berdasarkan situasi yang dialami pemain berusia 32 tahun itu.

"Faizal sudah pun mengalami kecederaan ketika aksi terakhir Sukan Asia Hangzhou, Oktober tahun lalu menentang Pakistan. Balik daripada Sukan Asia, dia jalani proses pemulihan, mental dia juga sedikit terganggu. Dia mahu berehat tetapi saya minta dia kekal dan tenangkan fikiran," katanya.

Ujar Arul, Faizal mengalami kecederaan berulang dan dalam masa sama juga ada masalah gout, di mana kandungan asid uriknya juga sangat tinggi.

"Semasa kita buat jelajah di Korea Selatan pun dia sudah alami masalah gout dan kena lagi ketika di New Zealand.

"Dia pun baru berlatih semula. Ia sesuatu yang membimbangkan, jadi saya memutuskan untuk menyenaraikan pemain yang benar-benar cergas sepenuhnya dan bersedia untuk beraksi," katanya.

Pusingan kelayakan akan bermula dari 15 hingga 21 Januari dan skuad negara dijangka berlepas ke Muscat pada 11 Januari ini.

Mereka akan mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Kanada serta Chile pada 12 dan 13 Januari sebelum memulakan kempen kelayakan.

Malaysia akan membuka tirai saingan menentang China pada 15 Januari diikuti pertemuan dengan Great Britain (17 Januari) sebelum melengkapkan aksi terakhir Kumpulan A menentang Pakistan pada 19 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 12:20 PM