SKUAD negara giat menjalani latihan menjelang perlawanan pertama bertemu Pakistan. FOTO MHC
SKUAD negara giat menjalani latihan menjelang perlawanan pertama bertemu Pakistan. FOTO MHC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara kemungkinan tidak akan 'gigit jari' pada perlawanan pertama kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) berdepan Pakistan di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan, Chennai India malam esok.

Menurut pengendali Malaysian Tigers, A Arulselvaraj, barisan anak buahnya berada dalam kondisi terbaik untuk mencipta keputusan positif berdepan Pakistan.

"Kami juga mendapatkan khidmat Glenn Turner dan Kieran Govers dalam memantapkan lagi corak serangan selain turut memberikan tumpuan kepada struktur pasukan ketika melakukan serangan balas.

"Saya berharap pemain akan menunjukkan kesungguhan dan usaha yang lebih daripada 100 peratus serta paling penting mereka percaya kepada diri sendiri.

"Pasukan sudah melakukan persiapan maksimum menuju ke kejohanan ini, jadi pemain perlu percaya dengan kemampuan diri sendiri kerana ia akan meningkatkan lagi kepercayaan mereka boleh beraksi dengan terbaik," katanya.

Selain itu, Arul juga menjelaskan bahawa aksi kali ini juga bakal menjadi penampilan pertama perancang tengah, Mohd Fitri Saari selepas dua tahun tidak menyarung jersi Malaysian Tigers di peringkat antarabangsa.

"Dua tahun dia tidak berada dalam skuad, namun kita tahu dia menunjukkan prestasi cukup bagus dalam latihan, bukan sahaja di padang, malah ketika menjalani latihan di gimnasium juga," katanya.

Kali terakhir Malaysia menentang Pakistan berakhir dengan keputusan seri 1-1 pada aksi Piala Sultan Azlan Shah 2022 yang menyaksikan Malaysia menjuarai kejohanan itu buat kali sejak 1983.

Namun, berdasarkan prestasi semasa tahun ini, Malaysian Tigers dilihat mempunyai kemampuan untuk mengutip tiga mata penuh ke atas Pakistan yang pernah menjadi seteru tradisi skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 4:56 PM