SYAFIQ menangguhkan bulan madu demi menyertai skuad hoki negara ke kelayakan Olimpik di Muscat, Oman. FOTO BERNAMA
SYAFIQ menangguhkan bulan madu demi menyertai skuad hoki negara ke kelayakan Olimpik di Muscat, Oman. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Demi lencana di dada, pemain hoki negara, Muhammad Syafiq Hassan rela menangguhkan dahulu 'bulan madu' bagi menyertai kem latihan Speedy Tigers menjelang aksi kelayakan Olimpik di Muscat, Oman pada 15 hingga 21 Januari ini.

Pemain pertahanan berusia 24 tahun itu menyertai kem latihan skuad hoki kebangsaan, dua hari selepas melangsungkan perkahwinan dengan Nurul Faezah Shafiqah Khalim yang juga bekas pemain hoki negara pada 22 Disember lalu.

Walaupun sukar, Muhammad Syafiq akur dengan tanggungjawab membantu pasukan negara dalam memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024, selain turut mendapat sokongan daripada isterinya.

"Majlis perkahwinan saya di Melaka pada 22 dan 23 Disember lalu dan pada 24 Disember, saya kembali ke ibu negara. Saya memulakan latihan pada keesokannya, jadi memang tidak sempat berbulan madu.

"Isteri saya juga bekas pemain hoki, jadi dia memahami dan menyokong saya walaupun terpaksa berjauhan," katanya ketika ditemui Bernama pada sesi latihan, baru-baru ini.

Muhammad Syafiq yang pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut sebelum ini berkata, meskipun terlepas beberapa kejohanan besar tahun lalu, beliau sedia memberikan komitmen demi membantu pasukan mendapatkan slot di temasya berprestij dunia itu.

Katanya, rakan sepasukan banyak membantu beliau dari segi membina keyakinan ketika menjalani kem latihan bermula 25 Disember lalu.

Jumaat lalu, ketua jurulatih, A Arul Selvaraj mengumumkan senarai 18 pemain yang mempunyai variasi dengan boleh bermain sekurang-kurangnya dua posisi.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama China, Great Britain dan Pakistan manakala Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile diletakkan dalam Kumpulan B.

Kejohanan Kelayakan Olimpik 2024 di Muscat, Oman adalah pentas terakhir bagi semua pasukan melangkah ke Paris 2024 dengan tiga pasukan terbaik kejohanan akan meraih slot ke temasya tertinggi dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 5:28 PM