Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kapten skuad hoki negara Mohamad Sukri Abdul Mutalib (gambar) tidak mahu rakan sepasukannya terlalu memikirkan status lawan bakal ditemui pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London dari 15 hingga 25 Jun.

Sebaliknya, pemain berusia 31 tahun itu berkata, fokus utama adalah untuk memastikan Malaysian Tigers menempah tiket ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.

“Daripada awal lagi kami memang sudah tahu semua pasukan beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia kuat.

“Kami juga sedar objektif utama ke London adalah untuk menempah tiket ke Piala Dunia. Walaupun rata-rata lawan ditemui kuat, kami akan cuba memanfaatkan peluang apabila bertemu lawan menduduki ranking lebih rendah dengan misi wajib menang.

“Apabila bertemu pasukan menduduki ranking lebih tinggi pula, kami perlu sekurang-kurangnya meraih satu mata,” katanya.

Meskipun pembahagian kumpulan belum diumumkan lagi, namun rata-rata lawan yang beraksi di London adalah antara terbaik di dunia.

Skuad negara, Kanada, China dan Scotland adalah pasukan yang layak selepas melepasi pusingan kedua.

Enam lagi pasukan sudah layak adalah pemenang emas Sukan Olimpik Rio Argentina, juara Eropah Belanda, juara Asia India, Pakistan, Korea Selatan serta England selaku tuan rumah.

Satu lagi aksi Separuh Akhir akan berlangsung di Johannesburg, Afrika selatan dari 8 hingga 23 Julai.

Pasukan yang diletakkan dalam saingan itu adalah Ireland, Jepun, Perancis, Mesir, Australia, Belgium, Jerman, New Zealand, Sepanyol dan Afrika Selatan selaku tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 8:29 AM