PEMAIN Perancis meraikan jaringan ketika menentang Afrika Selatan. FOTO MHC
PEMAIN Perancis meraikan jaringan ketika menentang Afrika Selatan. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Perancis muncul pasukan pertama mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Dunia Remaja selepas menewaskan Afrika Selatan 5-4 untuk kemenangan ketiga berturut-turut sekali gus mengungguli Kumpulan B.

Menduduki tempat ketiga pada edisi 2021 di Bhubaneswar, India, Perancis hanya memerlukan keputusan seri pada perlawanan hari ini untuk mengesahkan tiket ke suku akhir selepas menewaskan naib juara edisi lalu, Jerman dan Mesir.

Namun mereka nyata tidak mengendurkan asakan, begitu juga Afrika Selatan yang terdesak mahukan kemenangan sehingga menyaksikan kesemua sembilan gol dijaringkan pada separuh masa pertama.

Malah Perancis di depan dengan dua gol seawal minit pertama dan ke-4 masing-masing hasil jaringan padang Jules Verrier serta Stanislas Branicki.

Selepas itu, tiga jaringan pantas berlaku dalam tempoh dua minit bermula dengan gol padang tonggak Afrika Selatan, Hans Neethling minit ke-14 serta pukulan sudut penalti Gaspard Denis (Perancis) dan Caleb Oliphant (Afrika Selatan) seminit kemudian.

Tempo permainan pantas kedua-dua pasukan menyaksikan empat lagi gol dijaringkan dalam tempoh tujuh minit iaitu menerusi jaringan padang pemain Afrika Selatan, Cameron Le Forestier minit ke-21, Mathis Clement (Perancis) minit ke-22, Forestier sekali lagi minit ke-25 dan Louis Haertelmeyer (Perancis) minit ke-27.

Ketua jurulatih Perancis, Matthias Dierckens melabelkan aksi pada separuh masa pertama sesuatu yang 'gila' apabila kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan sebelum nampak keletihan di babak kedua.

"Selepas rehat separuh masa pertama, saya jangkakan jika kami teruskan dengan prestasi sama, mungkin pada separuh masa kedua kita dapat saksikan sembilan atau lapan gol lagi.

"Tetapi kedua-dua pasukan agak keletihan di separuh masa kedua dan rentak permainan mereka mula perlahan.

"Sangat gembira kerana kami dapat memenuhi objektif pertama untuk layak ke suku akhir. Kami sedar kesukaran bertemu Jerman dan Afrika Selatan juga bagus. Apapun sembilan mata selepas tiga perlawanan adalah sesuatu yang menakjubkan," katanya.

Sementara itu, Jerman mengikut jejak langkah Perancis mara ke suku akhir selepas membelasah Mesir 10-0 untuk menamatkan saingan peringkat Kumpulan B di tempat kedua dengan enam mata.

Pasukan ranking kedua dunia itu mendahului 6-0 selepas berakhir separuh masa pertama menerusi gol Florian Sperling minit ke-10 dan 25, Nikas Berendts (m-14), Liam Holdermann minit ke-17 dan 22 serta Jakob Brilla minit ke-19.

Bersambung babak kedua, Jerman menjaringkan empat lagi gol menerusi Michel Struthoff minit ke-32, Paul Glander minit ke-42 serta dua gol Berendts minit ke-50 dan 58 sekali gus hatrik untuknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 12:52 PM