Pemain Perancis, Stanislas Branicki cuba mendapatkan bola dari pemain Australia, Nathan Czinner pada perlawanan skuad hoki remaja Australia menentang skuad hoki remaja Perancis sempena Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil baru-baru ini. - Photo Aizuddin Saad.
Pemain Perancis, Stanislas Branicki cuba mendapatkan bola dari pemain Australia, Nathan Czinner pada perlawanan skuad hoki remaja Australia menentang skuad hoki remaja Perancis sempena Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil baru-baru ini. - Photo Aizuddin Saad.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Perancis berpeluang untuk membalas dendam dan melakar sejarah muncul juara Piala Dunia Remaja buat kali pertama apabila bertemu Jerman pada aksi final esok.

Di atas kertas, Jerman jelas mempunyai segala kelebihan dan dianggap pasukan pilihan berbanding Perancis yang hanya sekali pernah melangkah ke final 10 tahun lalu di New Delhi, India, namun dikecewakan oleh Jerman ketika itu.

Ketua jurulatih Perancis, Matthias Dierckens berkata, tiada sesiapa yang dapat menafikan fakta bahawa Jerman adalah pasukan pilihan, lebih-lebih lagi dengan status gergasi Eropah itu yang muncul juara dunia enam kali sekali gus muncul pemenang paling terbanyak di Piala Dunia Remaja.

"Anda perlu berhati-hati apabila Jerman 'tak gembira', jadi ia pastinya perlawanan yang cukup sukar. Kita semua tahu bahawa mereka (Jerman) adalah pasukan pilihan. Menjadi pasukan pilihan sentiasa mempunyai keistimewaan.

"Saya tak tahu berapa ramai pemain, jumlah jurulatih, kem latihan serta perlawanan yang diharungi oleh pasukan bawah 21 tahun mereka, tetapi Jerman masih kekal memegang status pasukan pilihan," katanya.

Dierckens bagaimanapun menegaskan, segala kelebihan yang terarah kepada Jerman itu tidak bermaksud barisan pemainnya tidak mampu untuk menundukkan lawan mereka itu, malah Perancis sudah membuktikannya pada perlawanan peringkat Kumpulan B dengan menewaskan Jerman 2-0.

"Saya rasa kami boleh menewaskan mana-mana pasukan jika mengharungi aksi final yang baik. Sudah tentu ini juga peluang terbaik kami untuk membalas dendam kekalahan sebelum ini (di final 2013),"katanya.

Perancis melangkah ke final buat kali kedua selepas menumpaskan Sepanyol 3-1 pada aksi separuh akhir semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 2:47 PM