AKSI Ounahi ketika bertemu Portugal di Stadium Al-Thumama. FOTO AFP
AKSI Ounahi ketika bertemu Portugal di Stadium Al-Thumama. FOTO AFP
AFP

Doha: Azzedine Ounahi menjadi antara watak penting kepada kejayaan Maghribi ke separuh akhir Piala Dunia apabila dilihat sering bekerja keras mengawal bahagian tengah.

Aksi cemerlang penjaga gol, Yassine Bounou ketika penentuan penalti mencuri tumpuan pada aksi 16 terakhir bertemu Sepanyol tetapi Ounahi tetap menarik perhatian bekas jurulatih Sepanyol, Luis Enrique.

"Saya terkejut dengan Ounahi. Dari mana datangnya pemain itu?" tanya Luis Enrique yang kagum dengan prestasi hebat pemain tengah itu.

"Dia bermain seperti pemain Sepanyol. Dia beraksi dengan sangat baik. Saya sangat terkejut. Dia tidak berhenti berlari."

Ounahi mungkin akan diturunkan pada awal pagi Khamis ini menentang Perancis, negara di mana dia menempa kerjayanya bersama kelabnya.

Hanya 18 bulan lalu, Ounahi bergelut beraksi di divisyen ketiga Perancis dan

kini beraksi bersama pasukan Ligue 1, Angers yang terkenal melahirkan pemain berbakat sebelum menjualnya kepada kelab lain.

"Anda pun tahu kami tidak boleh menahan pemain yang mahu meninggalkan kelab ini," kata pengerusi Angers, Said Chabane.

Ounahi adalah salah satu daripada empat pemain dalam skuad Maghribi hasil produk Akademi Mohammed VI di Sale, kemudahan terkini yang dibuka pada 2009 dan direka untuk membangunkan pemain berbakat di negara itu.

Pelaburan besar Maghribi dalam infrastruktur bola sepaknya selepas beberapa kali gagal dalam bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia, akhirnya membuahkan hasil di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 10:30 AM