AKHIMULLAH  (tengah) dikawal dua pemain Austria ketika separuh akhir pusingan akhir siri FIH  di Stadium Hoki Nasional pada 2019.
AKHIMULLAH (tengah) dikawal dua pemain Austria ketika separuh akhir pusingan akhir siri FIH di Stadium Hoki Nasional pada 2019.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penampilan lebih 20 kali bersama skuad senior menyaksikan Mohamad Akhimullah Anuar Esook menjadi aset berharga untuk skuad hoki remaja negara pada Piala Dunia Remaja dekat Bhubaneswar, India bermula 24 November ini.

Dia yang akan menggalas tugas selaku kapten pasukan mengakui pengalaman bersama skuad senior banyak membantunya untuk mengetuai skuad negara yang rata-ratanya tidak mempunyai pengamalan luas beraksi di pentas tertinggi.

"Pada saya tanggungjawab sebagai ketua pasukan sangat besar. Saya perlu mengetuai pasukan ini untuk mencapai sasaran ditetapkan. Sememangnya pengalaman bersama skuad senior banyak membantu saya.

''Selain itu barisan kejurulatihan yang berpengalaman juga sering membantu kami. Ketika ini saya boleh katakan kami sudah bersedia untuk beraksi di Piala Dunia selepas pulang dari siri Jelajah UK (United Kingdom)," katanya.

Mengulas cabaran di Bhubaneswar apabila skuad negara diletakkan bersama-sama Belgium, Afrika Selatan dan Chile dalam Kumpulan A, penyerang skuad negara itu mengakui ia bukanlah satu tugas mudah.

"Belgium pastinya antara pasukan pilihan kerana mereka naib juara edisi sebelum ini. Saya akui kami bakal berdepan tugas sukar bertemu mereka nanti. Afrika Selatan pula dibarisi beberapa pemain yang beraksi di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini. Ini bermakna mereka dibarisi pemain berpengalaman dan sudah tentu kami tidak boleh memandang mudah cabaran daripada mereka," katanya.

Skuad negara dijangka beraksi dalam beberapa perlawanan pemanas badan sebelum bertemu Chile pada perlawanan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 9:05 PM