AZRAI (kanan) menolak bola masuk ke dalam gawang Korea Selatan, malam ini. FOTO ihsan HOCKEY INDIA
AZRAI (kanan) menolak bola masuk ke dalam gawang Korea Selatan, malam ini. FOTO ihsan HOCKEY INDIA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal muncul wira skuad hoki negara apabila jaringan tunggalnya membolehkan Malaysia menewaskan Korea Selatan 1-0 dalam aksi terakhir pusingan awal saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India, sebentar tadi.

Azrai meledakkan gol kemenangan buat Malaysian Tigers menerusi jaringan padang pada minit ke-22.

Kemenangan di Stadium Mayor Radhakrishnan itu menyaksikan Malaysia menamatkan aksi awal perlawanan liga sepusingan itu dengan empat kemenangan iaitu ke atas Pakistan, China, Jepun dan Korea serta tewas sekali kepada India.

Skuad bimbingan A Arulselvaraj itu bagaimanapun sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir dan bakal berdepan sama ada Korea sekali lagi atau Pakistan.

Korea dan Pakistan kini sedang bersaing untuk menentukan kedudukan tempat ketiga selepas India mendahului carta kedudukan diikuti Malaysia di tempat kedua.

Penentuan itu akan diketahui selepas perlawanan antara Pakistan dengan India yang akan berlangsung lewat malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 11:36 PM