DUA pemain Korea Selatan cuba mengekang kemaraan pemain Malaysian Tigers. FOTO Hockey India
DUA pemain Korea Selatan cuba mengekang kemaraan pemain Malaysian Tigers. FOTO Hockey India
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara mencipta sejarah mara ke final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) buat kali pertama selepas menumbangkan penyandang juara, Korea Selatan 6-2 dalam saingan separuh akhir di Chennai, India sebentar tadi.

Selepas hanya berpuas hati di tempat ketiga lima edisi berturut-turut, anak buah A Arulselvaraj akhirnya berjaya menamatkan badi terkandas di separuh akhir dan bakal berdepan pemenang di antara tuan rumah dan Jepun.

Bagaimanapun, dalam aksi di Stadium Mayor Radhakrishnan sebentar tadi, Malaysia dikejutkan dengan gol awal Korea Selatan pada minit kedua melalui jaringan padang Ji Woo Cheon hasil kelalaian benteng pertahanan negara.

Malaysian Tigers tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Azrai Abu Kamal berjaya meledak gol penyamaan seminit kemudian hasil gerakan solo bermula dari depan kawasan gol Korea Selatan.

Najmi Farizal Jazlan meletakkan Malaysia di depan buat kali pertama apabila berjaya melepaskan pukulan deras pada minit kesembilan selepas pukulan sudut penalti Faizal Saari berjaya dikeluarkan pertahanan Korea Selatan.

Korea Selatan yang dibimbing Shin Seok Kyo berjaya menyamakan kedudukan di hujung suku pertama melalui pukulan sudut penalti flicker sensasi mereka, Jang Jonghyun.

Malaysia menambah dua lagi gol pada suku kedua dengan kedua-duanya melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Faizal (19) dan Najmi (21) untuk selesa mendahului Korea Selatan 4-2.

Korea Selatan cuba bangkit pada suku ketiga dengan melancarkan serangan bertali-arus termasuk memperoleh tiga pukulan sudut penalti dan satu penalti stroke yang diambil Yang Jihun namun semuanya tidak berhasil menambah jaringan.

Suku keempat menyaksikan Malaysia menambah dua lagi jaringan untuk mengesahkan kemenangan dan slot ke final apabila Shello Silverius meledak gol padang pada minit ke-47 dan 48.

Ia kekalahan kali kedua berturut-turut Korea Selatan kepada Malaysia apabila pada saingan round robin kelmarin mereka tumpas 0-1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 10:40 PM