SKUAD negara meraih pingat emas di Kemboja. FOTO FATHIL ASRI
SKUAD negara meraih pingat emas di Kemboja. FOTO FATHIL ASRI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja lelaki negara yang masih segar dengan kejayaan meraih emas di Sukan Sea Kemboja 2023 perlu melupakan seketika detik manis untuk fokus kepada saingan di Piala Remaja Asia 2023 yang akan membuka tirai dari 23 Mei hingga 1 Jun ini di Salalah, Oman.

Menurut jurulatihnya, Muhamad Amin Rahim berkata, walaupun Malaysia sudah layak beraksi di Piala Dunia Remaja 2023, kejohanan di Salalah akan digunakan oleh pasukannya sebagai salah satu siri persiapan.

"Pasukan harus turun dengan persembahan yang baik pada kejohanan ini supaya kami barisan kejurulatihan, dapat mempersiapkan satu pasukan yang mantap pada Kejohanan Piala Dunia Remaja nanti," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Seramai 20 pemain akan berlepas ke Oman esok bagi menyertai kejohanan itu dengan enam pemain yang dibawa adalah pemain yang tidak berada di dalam skuad Sukan Sea Kemboja 2023, baru-baru ini.

Berdasarkan undian Malaysia berada alam Kumpulan B bersama Bangladesh, Korea Selatan, Oman dan Uzbekistan dengan skuad negara dijadual membuka tirai kejohanan pada 23 Mei ini bertemu Uzbekistan.

Piala Remaja Asia 2023 adalah aksi kelayakan ke Piala Dunia Remaja dengan tiga lagi slot bagi ditawarkan untuk benua Asia elepas Malaysia terlebih dahulu layak beraksi selaku tuan rumah.

"Seramai 14 pemain yang mempunyai pengalaman beraksi di Sukan Sea baru-baru ini antara pemain yang mempunyai sedikit pengalaman beraksi di kejohanan yang berintensiti tinggi.

"Sementara enam yang saya tinggalkan untuk berlatih bersama akuad senior kebangsaan juga mempunyai kelebihan yang tersendiri dan kejohanan ini juga antara platform bagi mereka membuktikan kemampuan masing-masing.

"Barisan pemain ini juga adalah wajah-wajah yang bakal menggalas tanggungjawab besar untuk negara pada kempen Piala Dunia Remaja 2023. Saya berharap pengalaman dan pendedahan dimiliki pemain yang beraksi pada Sukan Sea tempoh hari akan digunakan dengan sebaik mungkin," katanya.

Tambah Amin, momentum yang dipamerkan pada Sukan Sea baru-baru ini harus dikekalkan untuk memastikan pasukan turun dengan persembahan yang terbaik pada Piala Remaja Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 7:10 PM