SKUAD hoki negara diberi peluang menguji gelanggang rasmi kejohanan di Stadium Hoki Birsa Munda, semalam. FOTO MHC
SKUAD hoki negara diberi peluang menguji gelanggang rasmi kejohanan di Stadium Hoki Birsa Munda, semalam. FOTO MHC
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pengalaman penyerang skuad hoki lelaki kebangsaan, Faizal Saari ketika berkelana di bumi Belanda ditagih Malaysia Tigers menjelang aksi pertama Kumpulan C menentang juara tiga kali, Belanda pada saingan Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India, Sabtu ini.

Ketua jurulatih, Arul Selvaraj, berkata pasukan akan mendapatkan maklumat seberapa mungkin daripada Faizal yang beraksi dalam saingan liga utama Belanda, Hoofdklasse bersama ZSV Schaerweijde sejak Ogos tahun lalu sebagai rujukan untuk mencipta keputusan positif.

"Sudah tentu kami akan duduk bersama Faizal bagi mendapatkan maklumat dan pendapatnya kerana dia bermain dengan ramai pemain skuad kebangsaan Belanda.

"Walaupun ada antara mereka bermain dalam liga di Belgium tetapi hampir 90 peratus bermain dalam liga Belanda. Kami mahu mendapatkan maklumat mengenai beberapa individu pemain yang turut bersama pasukan kebangsaan Belanda kali ini," katanya.

Sementara itu, skuad negara yang tiba di Rourkela, Sabtu lalu diberi peluang menguji gelanggang rasmi kejohanan di Stadium Hoki Birsa Munda, semalam yang mana ia menjadi lokasi pertemuan menentang Belanda dan perlawanan kedua berdepan Chile pada 16 Januari ini.

Tiga hari selepas itu, anak buah Arul akan berdepan New Zealand untuk aksi terakhir kumpulan di Stadium Kalinga di Bhubaneswar.

Malaysian Tigers dijadual bertemu Sepanyol dalam satu perlawanan persahabatan, Rabu ini yang dianggap sebagai aksi pemanas badan terakhir sebelum memulakan kempen menentang Belanda.

"Kami akan berbincang dengan barisan kejurulatihan Sepanyol bagi menentukan berapa suku permainan yang akan diadakan sama ada dua atau empat selain kemungkinan untuk mengadakan pukulan penalti.

"Kami akan menggunakan setiap suku permainan sebagai simulasi menentang pasukan berbeza dalam saingan peringkat kumpulan. Perlawanan ini akan menjadi pemanas badan terbaik sebelum kami bertemu Belanda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 7:24 PM