MUHAMMAD Azrai Aizad menjaringkan dua gol bagi membantu skuad negara bangkit menewaskan Kanada. FOTO ihsan FIH
MUHAMMAD Azrai Aizad menjaringkan dua gol bagi membantu skuad negara bangkit menewaskan Kanada. FOTO ihsan FIH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Aksi cemerlang penyerang, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada 10 minit terakhir memastikan skuad hoki negara bangkit menewaskan Kanada 3-2 pada perlawanan kedua Kumpulan B Piala Negara-Negara di Potchefstroom, Afrika Selatan, sebentar tadi.

Selepas tewas 0-1 kepada Korea Selatan pada aksi pembukaan semalam, skuad bimbingan Arul Selvaraj dilihat bakal berdepan nasib sama ketika bertemu Kanada apabila ketinggalan dua kali.

Sean Davis meletakkan Kanada di depan menerusi jaringan padang minit ke-19, namun Muhammad Firhan Ashaari menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti minit ke-33.

Ketika Malaysian Tigers diharap dapat menambah gol, Kanada kembali di depan minit ke-40 menerusi pukulan sudut penalti Gordon Johnston.

Bagaimanapun, skuad negara tidak mengenal erti putus asa dan hasilnya menyamakan kedudukan menerusi gol padang Azrai minit ke-50.

Ketika perlawanan dilihat akan berkesudahan dengan seri 2-2, Azrai bijak mencari ruang untuk meraih gol kemenangan skuad negara minit ke-58.

Hasil kemenangan itu, skuad negara kini menduduki tangga ketiga Kumpulan B dan akan turun pada perlawanan seterusnya bertemu Jepun pada 1 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 9:12 PM