THT berjaya pertahan Piala Sumbangsih. FOTO Aswadi Alias
THT berjaya pertahan Piala Sumbangsih. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Biarpun berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia (MHL), Fitri Saari tidak mahu rakan sepasukannya dalam skuad Pasukan Hoki Terengganu (THT) musim ini masih dibuai dengan kejayaan semalam kerana mereka masih mempunyai misi yang perlu dicapai.

Fitri yang juga ketua pasukan THT, berjaya membantu pasukannya dengan menyumbang satu gol ketika menumbangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-3 dalam aksi semalam yang juga perlawanan sulung liga di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

"Mungkin pemikiran kami sedikit 'lari' selepas aksi kembali berlangsung selepas tertangguh lama disebabkan hujan lebat. Saya pesan kepada para pemain perlawanan cuma ada 14 minit lagi untuk tamat," katanya yang meledak gol pertama THT semalam.

Ujarnya, aksi Piala Sumbangsih memang sengit selepas TNB berjaya menyamakan kedudukan 3-3 sebelum mereka memperoleh gol kemenangan. "Saya sangat gembira dengan prestasi pasukan secara keseluruhan.

"Kami sasar dua piala musim ini tetapi kalau dapat tiga adalah bonus buat THT dan kerajaan Terengganu. Apa-apa pun kami perlu fokus satu demi satu, tak boleh terus memikirkan semuanya sekali," kata Fitri.

Tiga lagi gol gergasi Pantai Timur itu diperoleh menerusi dua jaringan bintang Korea Selatan, Jang Jong-hyun dan satu lagi menerusi Shello Silverius.

TNB pula terpaksa akur dengan kekalahan walaupun berjaya meledak tiga gol menerusi Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar.

Dalam masa sama, Fitri mengakui, mereka tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan taktikal ketua jurulatih baharu dari Korea Selatan, Seo Jongho.

"Beliau pernah beraksi sebagai penyerang tengah THT pada 2015 dan kini kembali semula ke sini menjadi jurulatih. Jadi tiada masalah untuk kami serasi," jelas Fitri yang menanam azam untuk kembali dalam skuad kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 1:52 PM