REVINGTON dilantik ketua jurulatih skuad lelaki England dan Britain.
REVINGTON dilantik ketua jurulatih skuad lelaki England dan Britain.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jodoh Paul Revington selaku Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tidak panjang apabila beliau disahkan dilantik selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan lelaki England dan Britain.

Revington, bekas jurulatih terbaik dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), sememangnya tidak asing di England apabila pernah menyandang tugas selaku Ketua Jurulatih Program Pembangunan Elit Skuad Wanita Britain sebelum menjadi penolong jurulatih skuad senior wanita England dan Britain.

Dia kemudian diumum selaku Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas MHC pada Oktober 2020 untuk tempoh tiga tahun namun pengendali berusia 46 tahun itu kini meninggalkan MHC selepas tidak sampai dua tahun berkhidmat.

"Saya berasa bertuah kerana diberi peluang untuk membimbing skuad lelaki Britain dan England untuk tugasan antarabangsa seterusnya mereka. Saya benar-benar gembira bekerja dengan Konfederasi Hoki Malaysia dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kerja keras, sokongan dan layanan baik mereka.

"Ini adalah peluang yang hebat untuk saya dan kini menjadi tugas pasukan kejurulatihan kami untuk mengikuti jejak langkah beberapa ketua jurulatih yang cemerlang memimpin kumpulan atlet berbakat ini.

"Ia akan menjadi pengalaman penuh mencabar, memerlukan kerja keras dan memberi inspirasi kepada negara menerusi prestasi yang konsisten," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau bakal menggalas tugas penting bersama England dan Britain dalam saingan antarabangsa termasuk di Sukan Komanwel dan Piala Dunia.

Revington mempunyai pengalaman cukup luas dalam bidang kejurulatih dan pernah membimbing Afrika Selatan serta Ireland sebelum dilantik selaku ketua jurulatih skuad senior negara namun berundur pada 2014 berikutan masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 11:10 AM