SKUAD hoki negara perlu suntikan baru.
SKUAD hoki negara perlu suntikan baru.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: “Jangan buat silap lagi.” Demikian nasihat bekas pemain skuad kebangsaan Mohamad Abdul Hadi kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang kini ghairah melantik jurulatih asing bagi mengisi jawatan tetap selaku ketua jurulatih kebangsaan.

Bagi Mohamad, sepanjang pemerhatiannya selama ini, kehadiran jurulatih asing akan menghasilkan kesudahan sama iaitu mereka akan meninggalkan pasukan ketika sangat diperlukan dan hanya memberi sumbangan tidak seberapa jika dibandingkan gaji lumayan diterima.

Malah bekas kapten skuad negara itu berpendapat, dengan gaji lumayan, MHC sepatutnya menawarkan jawatan pengarah kejurulatihan kepada jurulatih asing, bukannya membimbing skuad senior negara.

“Apa yang berlaku kepada Paul Revington sama juga berlaku kepada jurulatih asing lain yang pernah berkhidmat di negara ini.

“Tidak sampai beberapa tahun membimbing skuad negara, mereka akan meninggalkan pasukan atas beberapa faktor.

“Kalau boleh untuk kali ini, biarlah pemilihan dilakukan dengan betul dan calon dipilih itu ditawarkan tugas selaku pengarah kejurulatihan, bukannya ketua jurulatih skuad senior.

“Ini kerana pengarah kejurulatihan mempunyai bidang tugas lebih luas iaitu merangkumi skuad remaja dan senior.

“Barulah berbaloi dengan gaji besar ditawarkan kepada mereka dan bukannya fokus kepada satu tugas saja iaitu ketua jurulatih skuad senior,” katanya.

Senario barisan kejurulatihan skuad negara dilihat agak kusut sejak pengunduran Revington daripada skuad negara.

Selepas Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dilantik menggantikan pengendali dari Afrika Selatan itu, Dhaarma kemudian direhatkan berikutan kegagalan di Sukan Komanwel serta Piala Dunia sebelum digantikan bekas penolong jurulatih Arul Selvaraj.

Arul pula gagal memenuhi sasaran mara ke final Sukan Asia dan akibat itu beliau pula digantikan dengan Tai Beng Hai.

Beberapa nama jurulatih asing disebut-sebut bakal ditawarkan jawatan cukup penting itu termasuklah terbaru Neil Hagwood yang kini membimbing skuad kebangsaan wanita India.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:07 AM