REVINGTON (kiri) dilantik sebagai Pengarah Teknikal Pembangunan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Pengarah Skuad Projek Khas Sukan Asia 2026. FOTO Bernama
REVINGTON (kiri) dilantik sebagai Pengarah Teknikal Pembangunan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Pengarah Skuad Projek Khas Sukan Asia 2026. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: "Ada tugas yang belum selesai." Itu antara sebab yang membawa Paul Revington kembali ke kancah hoki negara.

Pengendali berasal dari Afrika Selatan itu kembali dengan tugas baru iaitu sebagai Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas negara dan akan mengendalikan Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Pelantikan itu diumumkan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal berkuat kuasa serta merta.

Kata Subahan, Revington adalah individu yang paling tepat untuk mengalas tugas itu berdasarkan kemampuannya dan pengalamannya.

Revington hadir ke Malaysia kali ini dengan portfolio lebih besar apabila menamatkan tugas Ketua Program Pembangunan Britain dan mengendalikan program buat skuad wanita negara itu selain turut membantu skuad elit England.

"Paul akan bersama dengan kita untuk tempoh tiga tahun akan datang. Dia akan dipertanggungjawab untuk menguruskan program pembangunan dan projek khas di bawah Wallace Tan dan Nasihin Nubli.

"Beliau adalah individu yang tepat dan kemampuannya tidak perlu dipersoalkan dan saya gembira apabila beliau mengatakan persetujuan untuk kembali ke negara ini," katanya.

Subahan berkata, sasaran yang diletakkan kepada Revington bukanlah untuk melihat kejayaan dalam masa terdekat ini kerana apa yang diperlukan adalah untuk jangka masa panjang dengan sasaran adalah untuk 2026 dan selain mahu melihat rentetan kejayaan yang berterusan di Kejohanan Dunia, Sukan Asia dan Olimpik.

"Keputusan bukan satu yang penting ketika ini tapi jika diperolehi ia adalah bonus.

"Sasaran utama adalah untuk Sukan Asia yang akan datang dan kita juga mahu kejayaan yang berterusan setiap tahun," katanya.

Pengendali berusia 46 tahun itu yang dikatakan terpaksa meninggalkan Malaysia pada 2014 kerana masalah kesihatan yang dialaminya iaitu ketumbuhan di bahagian kepala bagaimanapun memaklumkan bahawa beliau kini sudah pulih sepenuhnya.

Revington sebelum ini pernah menjadi ketua jurulatih Ireland dan skuad senior Afrika Selatan dan lebih 19 tahun memiliki pengalaman dalam karier jurulatih.

Dalam perkembangan yang sama, Subahan turut memaklumkan bekas pemain wanita kebangsaan Siti Noor Amarina Ruhani sebagai pengurus pasukan wanita negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 6:44 PM