NASIHIN anggap aksi di Korea Selatan sebagai peluang pemain menimba pengalaman. FOTO Bernama
NASIHIN anggap aksi di Korea Selatan sebagai peluang pemain menimba pengalaman. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim tidak meletakkan sasaran yang tinggi buat skuad wanita negara yang akan turun beraksi di Kejohanan Hoki Trofi Juara Asia Wanita di Donghae, Korea Selatan bermula dari 31 Mac hingga 7 April tahun depan.

Cukuplah tidak menjadi pasukan belasahan kerana tiga perempat daripada pasukan wanita negara terdiri daripada pemain muda yang baru diserap masuk ke dalam skuad negara.

Kejohanan yang disertai oleh gergasi Asia itu membabitkan saingan enam penjuru terdiri daripada India, China, Korea, Jepun, Thailand dan Malaysia.

Kata Nasihin, kejohanan itu nanti adalah kejohanan buat pemain negara menimba pengalaman di pertandingan yang menawarkan kualiti perlawanan yang terbaik.

"Ini adalah pasukan baru dan kami juga dalam usaha untuk memberi mereka pendedahan.

"Saya tidak mahu memberi mereka tekanan untuk kalahkan pihak lawan kerana saya sedar, mereka masih jauh lagi. Tapi saya juga tidak mahu pemain kita kena belasah dengan mereka.

"Pertandingan itu adalah sebagai satu pendedahan untuk mereka timba pengalaman sebanyak mungkin," katanya.

Bekas penjaga gol yang mewakili negara pada Olimpik 1996 dan 2000 itu berkata, beliau berharap agar peminat hoki negara bersabar dan tidak meletakkan sasaran yang tinggi berdasarkan 24 pemain skuad negara adalah mereka di bawah 21 tahun dan hanya enam pemain melebihi umur 21.

Malah mereka juga baru digabungkan sebagai satu pasukan pada bulan lalu dengan pertandingan di Korea itu adalah pertandingan pertama buat skuad negara sebelum turun beraksi di Piala Remaja Asia di Jepun pada 11 April.

Nasihin pernah membimbing Malaysian Tigress selaku ketua jurulatih dari 2011 hingga 2015 yang menyumbang dua pingat emas Sukan SEA termasuk rekod kemenangan 36-0 ke atas Kemboja semasa edisi Sukan SEA Myanmar 2013 berkata, ketika ini beliau sedang mendalami ilmu dari Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas negara Paul Revington dalam memperkukuhkan skuad negara.

"Saya banyak berbincang dengan beliau (Revington) dan jurulatih lain. Dia seorang yang banyak pengalaman dan pernah menjadi jurulatih Afrika Selatan, Ireland dan Great Britain.

"Rasa rugi kalau tak ambil apa-apa pengalaman daripada dia di samping pengalaman saya sebagai jurulatih, saya nak juga belajar dari Paul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 9:51 PM