AKSI perlawanan separuh akhir TNB menentang Maybank. -FOTO Ihsan MHC
AKSI perlawanan separuh akhir TNB menentang Maybank. -FOTO Ihsan MHC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sudah dua kali 'gigit jari' tewas menentang Terengganu Hockey Team (THT) menyebabkan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mahu berjuang habis-habisan bagi memastikan piala Piala TNB 2022 menjadi milik mereka.

Pada pertemuan final yang akan berlangsung esok(Khamis), TNB yang sebelum ini tewas kepada THT pada Piala Sumbangsih dan terlepas peluang meraih kejuaraan liga hoki 2022 pada pasukan sama mahu pastikan mereka berjaya mendakap piala berkenaan kelak.

Ketua jurulatih hoki TNB Nor Saiful Zaini berkata, pasukannya akan meneruskan barisan pemain terbaik dalam usaha memberi tentangan sengit kepada THT.

Beliau berkata, barisan pemainnya sudah biasa dengan corak permainan yang ditampilkan oleh THT sekali gus tidak berhadapan masalah untuk menyerap segala tekanan dan taktikal berintensiti ditampilkan lawannya itu.

"Saya harap esok menjadi perlawanan yang adil. Cuaca bagus dan pemain-pemain saya bersedia dengan baik. Mereka elak kecederaan sebab jadual padat, mereka juga perlu membuat persediaan.

"Paling penting adalah pemain tidak melakukan kesilapan yang boleh membuka ruang dan peluang kepada lawan menjaringkan gol," katanya.

Sementara itu, kapten pasukan TNB, Syed Syafiq Syed Cholan, dia dan rakan sepasukannya tidak mahu terus kempunan untuk mendakap piala seperti yang terjadi pada dua perlawanan menentang THT sebelum ini.

"Perlawanan menentang THT boleh dikatakan agak sengit berdasarkan pertemuan sebelum ini. Oleh itu, kami tidak mahu melepaskan peluang yang ada.

"Kami tidak mahu lagi terlepas peluang mendapatkan piala TNB 2022 dan semua pemain sudah bersedia merealisasikan impian itu," katanya.

Mengikut rekod, THT berada pada landasan tepat untuk merangkul kejuaraan trebel musim ini selepas mara ke pentas final Piala TNB.

Kejayaan itu hadir selepas THT yang sudah menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia, menewaskan UiTM HA 1-0 pada separuh akhir kedua Piala TNB di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.

TNB pula menempah slot final selepas mencatat keputusan agregat 6-3 ke atas Maybank selepas menang 5-1 dalam aksi separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 1:57 PM