PEMAIN TNB meraikan kejayaan merangkul Piala TNB 2022. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
PEMAIN TNB meraikan kejayaan merangkul Piala TNB 2022. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Tenaga Nasional Berhad(TNB) akhirnya menamatkan kemarau sembilan tahun bergelar juara apabila berjaya menjulang Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Jelas sekali, pasukan kendalian Nor Saiful Zaini berjaya menafikan Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk mencatatkan 'treble' kemenangan selepas pasukan pantai itu berjaya memenangi Piala Sumbangsih dan bergelar juara Liga Hoki 2022 baru-baru ini.

Pada perlawanan final itu menyaksikan TNB yang dibarisi pemain muda terlebih dahulu membuka akaun gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh kapten pasukan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minit 18.

Gol berkenaan jelas sekali meniup semangat pasukan untuk menambah gol kedua kali ini menerusi Muhammad Shahril Saabah juga melalui pukulan sudut penalti pada minit 39.

Ketinggalan menyaksikan THT mengubah strategi pasukan dengan mengatur serangan berbahaya ke kubu lawan.

Usaha berkenaan membuahkan hasil apabila THT berjaya menyamakan kedudukan pada minit 49 dan 50 masing-masing dijaringkan oleh Muhammad Marhan Mohd Jalil serta Ismail Abu.

Namun, Muhammad Amirul Hamizan Azhar menjadi duri dalam daging buat THT apabila menyumbat gol kemenangan buat TNB pada minit 60 sekali gus mengesahkan kemenangan buat pasukannya.

Sementara itu, perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat menyaksikan UiTM HA melakar kejutan apabila berjaya menumbangkan Maybank menerusi penentuan penalti 'shoot out'.

Perlawanan terbabit yang berkesudahan seri 2-2 terpaksa berlanjutan ke penentuan penalti sebelum UiTM mengesahkan tempat ketiga dengan menewaskan pasukan lebih berpengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 11:12 PM