AKSI THT ketika bertemu TNB Thunderbolts di Stadium Hoki Batu Buruk, baru-baru ini. FOTO Ghazali Kori
AKSI THT ketika bertemu TNB Thunderbolts di Stadium Hoki Batu Buruk, baru-baru ini. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Biarpun berdepan dengan pendahulu Liga Hoki Malaysia (MHL), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam aksi terakhir liga di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), petang esok, Pasukan Hoki Terengganu (THT) tetap menyasarkan kemenangan untuk merangkul trofi kedua musim ini.

Ketua jurulatih skuad The Turtles itu, Roslan Jamaluddin menegaskan aura beraksi di laman sendiri bakal membakar semangat anak buahnya untuk menamatkan saingan liga di kedudukan teratas sekali gus muncul juara.

Tambah bekas penjaga gol kebangsaan itu, beliau lega apabila mempunyai banyak pilihan kesebelasan utama kerana semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan.

"Apa yang kita tuntut daripada pemain adalah aksi terbaik selain tidak melepaskan peluang keemasan untuk menjaringkan gol awal bagi menyuntik semangat mereka sepanjang perlawanan.

"Bagi saya perlawanan terakhir liga itu adalah 50-50 kerana masing-masing mempunyai kekuatan dan kelebihannya yang tersendiri, pasukan yang kerap melakukan kesilapan mudah bakal mengundang padah, lagipun lawan hanya perlu keputusan seri sahaja.

"Bagaimanapun saya percaya beraksi di laman sendiri dengan sokongan padu peminat setia ditambah semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan, anak buah saya mampu memperagakan aksi terbaik sekali gus muncul juara liga yang kali terakhir dimenangi pada 2018," katanya ketika ditemui di SHBB.

Ketika ditanya mengenai kegagalan pemainnya menyudahkan pukulan sudut penalti dalam dua aksi terakhir liga, bekas jurulatih penjaga gol skuad wanita kebangsaan itu tidak begitu gusar.

"Kita akui banyak pukulan itu tidak berjaya menghasilkan jaringan, tapi saya gembira sentuhan melalui jaringan padang kian menjadi, tapi saya harapkan pemain dapat meledak jaringan melalui kedua-dua situasi itu," katanya.

THT yang kini menghuni di kedudukan kedua liga dengan mengumpul 29 mata, satu mata di belakang TNB, perlu menang dalam aksi terakhir itu bagi menjulang trofi kedua musim ini selepas merangkul trofi Piala Sumbangsih menewaskan skuad TNB itu 3-2 pada Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 7:31 PM