PEMAIN THT, Nor Firdaus Rosdi (tengah) diasak pemain Maybank, Mohd Nur Asyraf. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN THT, Nor Firdaus Rosdi (tengah) diasak pemain Maybank, Mohd Nur Asyraf. FOTO Ghazali Kori
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pasukan Hoki Terengganu (THT) tidak boleh tercicir mata lagi dalam baki empat perlawanan jika mahu merangkul gelaran Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Menurut jurulatih THT, Roslan Jamaluddin beliau mengingatkan pemainnya agar tidak leka dan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu dalam keempat-empat perlawanan itu.

"Kalau ikutkan pengiraan, kami masih ada peluang tetapi paling penting adalah kami kena konsisten menang sehinggalah perlawanan terakhir. Aksi terakhir nanti kami akan jumpa TNB yang kini mendahului carta liga. Ia akan menjadi penentu kepada kejuaraan liga musim ini," katanya. Bagaimanapun, Roslan yang juga jurulatih penjaga gol skuad pembangunan lelaki, menggesa anak-anak buahnya agar memandang serius aksi bertemu Universiti Teknologi Mara (UiTM) esok.

Ini kerana UiTM salah satu pasukan yang berjaya mengejutkan THT apabila mengikat juara Piala Sumbangsih itu 1-1 ketika pusingan pertama di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 24 Februaru lalu.

"Kami seri dengan UiTM pada pertemuan sebelum ini. Keputusan itu menyebabkan kami hilang dua mata berharga. Kami kena betul-betul ambil serius perlawanan ini, jangan tercicir mata lagi. Bagusnya kali ini kami bermain di laman sendiri dan ia memberi kelebihan dari segi motivasi pemain," jelas Roslan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 9:44 PM