PEMAIN UniKL meraikan kejayaan mara ke pentas final. -Foto Saddam yusoff
PEMAIN UniKL meraikan kejayaan mara ke pentas final. -Foto Saddam yusoff
Ferzalfie Fauzi


KUALA LUMPUR: Seperti dijangka dua pasukan yang sangat berpengaruh dan nampak meyakinkan untuk saingan Liga Hoki Malaysia musim ini, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pasukan Terengganu Hoki (THT) bakal melakukan perhitungan dalam perlawanan akhir Piala TNB, esok.

Semalam di Stadium Hoki Tun Abdul Razak, kedua-dua pasukan seakan mahu membuktikan kehebatan masing-masing apabila mencatat kemenangan dalam agregat besar dengan penyandang juara, UniKL membelasah Maybank 9-1, manakala THT menyingkirkan TNB 8-3.

Menurut jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, muncul juara lebih mudah berbanding mempertahankan kejuaraan dan beliau lebih senang dengan status pasukan bukan pilihan selepas kehilangan empat tonggak import dari Belanda.

“Dalam situasi sekarang kebanyakan pemain sudah mempunyai pengalaman beraksi dalam perlawanan akhir, cuma kekurangan kami sekarang ialah ketiadaan empat import yang pulang ke Eropah,” katanya selepas perlawanan itu.

Kata Arul, mereka tidak akan berasa kekok walaupun kehilangan tonggak import kerana sudah mempunyai pengalaman dalam perlawanan terdahulu hanya membariskan pemain tempatan.

“Dari segi prestasi kita memang bagus dan berharap boleh menghalang THT daripada mendapatkan pukulan sudut penalti. Jika kita menghalang pemain seperti Faizal, Fitri Saari dan Jang Jonghyun kita boleh mencatat kemenangan,” katanya.

Sementara itu, pengendali THT, I Vikneswaran, mengakui akan tetap menghormati UniKL walaupun pasukan berkenaan tempang tanpa empat import Belanda.

“Mereka adalah juara liga, kita tidak peduli siapa akan beraksi dan tidak boleh beraksi, paling penting kita tetap menghormati mereka selaku pasukan juara.

“Kita akan melakukan persiapan dan merencanakan taktik baru untuk menghadapi mereka dan saya tidak lihat kita mempunyai kelebihan dari segi bilangan pemain import yang dimiliki,” katanya.

Tahun lalu UniKL muncul juara Piala TNB selepas menumpaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur dengan penentuan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 pada masa sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 7:00 AM