HISHAM berkata keputusan meneruskan peruntukan khusus buat pembangunan e-sukan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 menunjukkan komitmen berterusan kerajaan. FOTO Ihsan ESKL
HISHAM berkata keputusan meneruskan peruntukan khusus buat pembangunan e-sukan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 menunjukkan komitmen berterusan kerajaan. FOTO Ihsan ESKL
BERNAMA

Kuala Lumpur: Peruntukan sebanyak RM15 juta untuk pembangunan sukan elektronik atau e-sukan dalam Belanjawan 2021 membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasakan sukan itu, kata Presiden Persatuan Sukan Elektronik Kuala Lumpur (ESKL) Hisham Darus.

Beliau berkata jumlah itu dapat memanfaatkan sepenuhnya ekosistem e-sukan merangkumi pendidikan serta pembangunan akar umbi di negara ini ketika pandemik Covid-19 menjadi cabaran utama global.

"Keputusan meneruskan peruntukan khusus buat pembangunan e-sukan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam mengangkat dan memartabatkan sukan elektronik sebagai sukan yang diterima masyarakat di negara kita.

"Bagi pihak komuniti e-sukan di Kuala Lumpur, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen kerajaan dengan meneruskan peruntukan khusus buat pembangunan sukan elektronik dalam pembentangan Belanjawan 2021," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hisham berkata ekosistem e-sukan turut merangkumi pelbagai cabang yang membantu perkembangan ekonomi negara seperti bidang penganjuran, kejurulatihan dan penciptaan kandungan yang juga membantu ekonomi golongan belia masa kini.

"Peruntukan ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendidik dan membangunkan e-sukan dalam menyediakan ekosistem ekonomi dan perpaduan para belia di Malaysia secara amnya," kata beliau.

Ini adalah tahun ketiga berturut-turut pembangunan e-sukan diberi perhatian dalam pembentangan belanjawan yang menyaksikan kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM20 juta menerusi Belanjawan 2020 dan RM10 juta pada pembentangan Belanjawan 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 8:07 PM