LAPORTE membuktikan masih mampu beraksi cemerlang walaupun bermain di Liga Saudi. FOTO AFP
LAPORTE membuktikan masih mampu beraksi cemerlang walaupun bermain di Liga Saudi. FOTO AFP
AFP

Donaueschingen: Pertahanan Sepanyol, Aymeric Laporte menyelar pengkritiknya selepas aksi cemerlang menentang Itali di Euro 2024.

Pertahanan tengah berusia 30 tahun itu, yang kini bermain untuk Al Nassr di Arab Saudi, beraksi dalam kesebelasan utama ketika Sepanyol menewaskan juara bertahan itu 1-0 untuk layak ke pusingan 16 teratas Kumpulan B.

Laporte tidak beraksi ketika kemenangan 3-0 pada aksi pembukaan menentang Croatia selepas mengalami masalah otot dan beberapa media Sepanyol membuat spekulasi sama ada dia berada pada tahap yang betul untuk bermain bersama La Roja selepas setahun dalam liga Saudi.

"Mereka berkata segala-galanya, terdapat banyak spekulasi dan tidak cukup maklumat untuk mengeluarkan begitu banyak pendapat," kata Laporte pada sidang media menjelang perlawanan menentang Albania Selasa ini.

"Terdapat banyak maklumat buruk di luar sana yang menjana lebih banyak tajuk berita. Saya menyediakan diri saya (untuk bermain di Euro)."

Laporte tiba di Jerman selepas rakan sepasukannya, dan jurulatih Luis de la Fuente berkata. walaupun bekas pemain Manchester City itu boleh beraksi menentang Croatia, adalah lebih baik untuk tidak mengambil risiko.

"Saya bermain 90 minit menentang Itali dan saya berasa baik," tambah Laporte.

"Saya berbincang dengan jurulatih (Sepanyol) sebelum mengambil keputusan untuk pergi ke Arab Saudi.

"Bagi saya pasukan kebangsaan sangat penting, ia antara perkara paling penting dalam karier saya.

"Saya bangga mewakili Sepanyol, setiap kali saya memakai jersi itu, saya berasa sangat bangga."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 9:03 PM