BENRAHMA (dua dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
BENRAHMA (dua dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

London: Gol pada hujung babak perlawanan menerusi Kurt Zouma dan Said Benrahma memastikan West Ham menang 2-0 ke atas Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), pagi ini, walaupun kedua-dua gol itu dibayangi kontroversi.

Gol pertama Zouma sejak November 2021 itu dibenarkan oleh video bantuan pengadil (VAR) sekalipun bola jelas terkena tangan pemain pertahanan Hammers, Thilo Kehrer.

Benrahma kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan selepas VAR mendapati bola terkena tangan pemain gantian Bournemouth, Jordan Zemura.

Kemenangan itu adalah yang kelima berturut-turut dalam semua kejohanan di Stadium London buat West Ham, yang membolehkan mereka menduduki tempat ke-10 liga.

Detik penting untuk menamatkan separuh masa pertama yang hambar berlaku apabila bola sepakan sudut Jarrod Bowen akhirnya melepasi garisan gol selepas terkena kepala Zouma.

Situasi bola terkena tangan Kehrer tidak diambil kira dan dianggap tidak membawa kepada jaringan itu secara terus, menyebabkan gol itu dibenarkan.

Pengendali sementara Bournemouth, Gary O'Neil cukup marah dengan keputusan itu dan memberitahu pengadil: "Bola terkena tangan, itu adalah fakta."

Bekas pemain tengah West Ham yang mengendalikan pasukan sejak Scott Parker dipecat pada hujung Ogos lalu itu kemudian dilayangkan kad kuning kerana protes itu.

"Dia (Kehrer) tiada niat untuk memainkan bola. Ia memang jelas bola terkena tangannya kerana tangannya bergerak ke arah bola," kata O'Neil kepada Sky Sports selepas perlawanan.

"Saya tidak terkejut kerana ia tidak masuk akal. Seajk saya berada di sini, ada 10 pemeriksaan VAR yang serius, tetapi tiada satu pun keputusan memihak kepada kami."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 8:18 AM