ZUASYRAF Zulkiefle. -FOTO NSTP
ZUASYRAF Zulkiefle. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Musim 2022 menjadi antara detik terbaik buat pemain yang semakin meningkat naik di Terengganu FC, Zuasyraf Zulkiefle, malah aksinya kini semakin meniti di bibir peminat skuad Peteh.

Biarpun banyak digunakan selaku pemain gantian, Zuasyraf tetap gembira asalkan impiannya untuk menyarung jersi Terengganu FC sudah tercapai selepas empat musim berusaha bersama pasukan simpanan, Terengganu FC II.

Dia mahu berikan penghargaan kepada ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang akhirnya membuka ruang kepada dia untuk bermain bersama Terengganu FC tambahan di posisi serangan walaupun perlu bersaing dengan penyerang import seperti Tchetche Kipre dan Kpah Sherman.

"Saya kena ucapkan berbanyak terima kasih kepada ketua jurulatih kerana banyak bagi peluang untuk saya bermain pada tahun ini, perkara ini sangat menggembirakan selepas sekian lama dengan pasukan.

"Walaupun sering kali digunakan sebagai 'supersub' dalam kebanyakan perlawanan, saya tetap berpuas hati kerana apa lebih penting ialah dapat bermain dan peranan selaku 'supersub' sebenarnya sangat penting kepada pasukan.

"Terutama dalam situasi masih terikat kedudukan atau sedang ketinggalan, tekanan dari jurulatih dan peminat pasti tinggi untuk pemain gantian bagi mengubah rentak perlawanan serta menjaringkan gol," katanya.

Zuasyraf yang berusia 26 tahun telah melakukan 14 penampilan pada musim ini dengan 3 daripadanya bermula di dalam kesebelasan utama manakala 11 daripadanya selaku pemain gantian.

Dia sudah menjaringkan 3 gol setakat ini dengan satu jaringan di Liga Super semasa berdepan Sarawak United di Stadium Negeri manakala 2 jaringan dalam pentas Liga Premier bersama Terengganu FC II.

Menyentuh harapan di final, Zuasyraf tidak menyembunyikan ingin membantu pasukan namun semuanya bergantung kepada perancangan ketua jurulatih, Nafuzi Zain pada hari perlawanan.

"Sudah tentu final kali ini kita mahu membawa pulang Piala FA ke bumi Terengganu kerana sudah 11 tahun tidak bergelar juara.

"Saya yakin rakan-rakan akan berikan 200 peratus jika diberikan peluang untuk bermain dan tiada apa yang mustahil kalau kita berusaha sebaik mungkin serta kurang melakukan kesilapan semasa berdepan JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 2:23 PM