PRESIDEN Ankaragucu, Faruk Koca gagal mengawal perasaan marah memasuki padang dan menumbuk pengadil perlawanan. -FOTO Reuters
PRESIDEN Ankaragucu, Faruk Koca gagal mengawal perasaan marah memasuki padang dan menumbuk pengadil perlawanan. -FOTO Reuters
Reuters

Ankara: Semua perlawanan bola sepak profesional di Turkiye ditangguhkan selepas pengadil Halil Umut Meler ditumbuk di muka oleh presiden Ankaragucu, Faruk Koca pada akhir perlawanan Super Lig Turki.

Insiden berkenaan berlaku selepas Rizespor menjaringkan gol penyamaan minit ke-97.

Koca dilihat memasuki padang dan menumbuk pengadil apabila wisel penamat dibunyikan ketika keputusan seri 1-1 di Stadium Eryaman, menerusi rakaman daripada penyiar TRT.

Peminat Ankaragucu menceroboh padang selepas perlawanan dan Meler turut ditendang apabila dia terjatuh, walaupun tidak jelas siapa penyerangnya. Meler akhirnya berjaya di bawa ke bilik persalinan dengan bantuan polis.

Persekutuan bola sepak Turki (TFF) memutuskan untuk mengadakan mesyuarat luar biasa berikutan masalah itu, kata TRT.

"Bola sepak Turki dicemari insiden memalukan malam ini. Semua orang yang terbabit dalam insiden ini akan membayar harganya," kata Pengerusi TFF Mehmet Buyukeksi, menurut TRT.

Perintah penahanan dikeluarkan untuk Koca, kata Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya dalam satu siaran di X, sambil menambah bahawa dua penyokong turut ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan kehakiman terhadap insiden itu.

Meler yang berusia 37 tahun adalah pengadil Fifa sejak 2017 pernah mengendalikan perlawanan kumpulan Liga Juara-Juara Lazio dengan Celtic pada 28 November.

Pengadil di Turki sering dikritik oleh phak pengurusan dan presiden kelab kerana keputusan mereka tetapi jarang menjadi sasaran serangan ganas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 7:47 AM