FAIK Sarialioglu dilihat menyerbu masuk ke padang. FOTO AGENSI
FAIK Sarialioglu dilihat menyerbu masuk ke padang. FOTO AGENSI
Agensi

Ankara: Arena bola sepak Turkiye mencetuskan satu lagi kontroversi membabitkan pengadil selepas seorang presiden kelab menyerbu masuk ke dalam padang pada pertengahan permainan sebelum mengarahkan pemainnya beredar.

Insiden itu berlaku pada hari pertama liga disambung semula berikutan penggantungan selama seminggu selepas bekas Presiden Ankaragucu memasuki padang dan menumbuk pengadil pada minggu lalu.

Pengadil berkenaan, Halil Umut Meler yang mengalami lebam serta memakai pendakap leher, sudah dibenarkan keluar dari hospital dan susulan itu, aksi liga dihentikan seketika sehingga 19 Disember.

Di sebalik insiden itu, tidak banyak perubahan dilakukan oleh pengadil di liga utama Turkiye apabila kali ini Presiden Istanbulspor, Faik Sarialioglu menyerbu masuk ke padang pada hari pertama liga bersambung semula.

Semasa pertembungan Super Lig antara Trabzonspor dan Istanbulspor, pasukan pelawat menjaringkan gol untuk mendahului 2-1 menerusi bekas penyerang Southampton, Paul Onuachu, beberapa saat selepas Istanbulspor merasakan mereka sepatutnya diberikan penalti.

Ia mendorong Presiden Istanbulspor itu memasuki padang pada minit ke-74 dan memberitahu pasukannya untuk menarik diri daripada perlawanan itu.

Sebilangan pemain Istanbulspor terpinga-pinga dengan keputusan Sarialioglu tetapi masih akur dan tidak lama selepas itu, perlawanan itu secara rasmi dihentikan.

Menerusi video klip, ketua jurulatih, Hakan Yakin dilihat berdiri di tepi padang dengan perasaan hairan apabila pemainnya diarah meninggalkan padang.

Adegan huru-hara itu berlaku hanya seminggu selepas media melabelkan 'malam memalukan' untuk bola sepak Turkiye.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 9:29 AM