SOLARI semestinya terarah kepada pemulihan pemain sebelum merangka latihan intensif. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
SOLARI semestinya terarah kepada pemulihan pemain sebelum merangka latihan intensif. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Selepas merakam tujuh kemenangan berturut-turut dengan jaringan yang besar pada setiap perlawanan yang diharungi, Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal berdepan ujian getir apabila melayani Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Yang pasti, pengendali JDT, Esteban Solari akan membuat persiapan rapi untuk berdepan skuad kendalian Nafuzi Zain yang dikhabarkan bakal menjelmakan corak permainan Nafuzi ball yang dilihat 'resipi' itu tampak semakin membuahkan hasil selepas Sang Kenari melakar kemenangan 1-0 menewaskan Penang FC pada aksi, Selasa lalu.

Bagi Solari semestinya tumpuan terarah kepada pemulihan pemain sebelum merangka latihan intensif bagi persiapan menentang Sang Kenari yang dijangkakan perlawanan berintensiti tinggi dan corak permainan yang menampilkan gerakan berbahaya kedua-dua pasukan.

"Aksi menentang Kedah mungkin sukar buat kami kerana bukan sahaja Kedah, semua pasukan yang menentang kami akan bersungguh-sungguh untuk tewaskan kami. Oleh itu kami tidak boleh terlalu selesa dan bermegah dengan tujuh kemenangan yang diraih sebaliknya perlu tingkatkan permainan dan perbaiki kelemahan yang ada.

"Jadi kami tidak boleh terlalu selesa dan terlalu dibuai-buai dengan kejayaan itu kerana kami harus sentiasa bersedia dan memberi persembahan terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi malah setiap perlawanan yang kami hadapi semuanya ibarat aksi final.

"Setiap permainan adalah peluang untuk kami bertambah baik dan kekalkan konsentrasi. Bukan mudah untuk menang dengan jaringan banyak, oleh itu kami kena bersedia memberi sepenuh fokus dan beraksi tanpa tekanan malah ia bukti kami berada di landasan yang tepat," katanya.

Ditanya mengenai prestasi Bergson Da Silva yang diturunkan pada babak kedua ketika menentang Perak FC, Solari tampak gembira dengan kesungguhan penjaring terbanyak liga musim lalu yang kembali menemui sentuhan penyudah dan pulih daripada kecederaan.

Katanya, Bergson merupakan pemain penting buat JDT malah peranannya dalam barisan utama pasukan sentiasa beri impak positif kepada skuad Harimau Selatan dan dia melepasi tempoh permainan selama 45 minit tanpa sebarang masalah dan ia perkembangan yang baik.

"Belum pasti lagi sama ada Bergson akan diturunkan dalam kesebelasan utama atau sebaliknya lagipun tidak timbul siapa yang akan diturunkan kerana kami ada depth squad yang sedia beraksi malah akan melakukan pendekatan taktikal yang ampuh untuk aksi menentang Kedah dan berharap apa yang dirancang akan membuahkan hasil," kata Solari..

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 12:09 PM