CELVIN meraikan jaringannya ketika menentang Sri Pahang. FOTO KDA FC
CELVIN meraikan jaringannya ketika menentang Sri Pahang. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melebarkan rekod kemenangan apabila menewaskan Sri Pahang FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Gol kemenangan jaringan Rodney Celvin memastikan skuad Sang Kenari mengumpul tiga mata penuh dan kekal di tangga kedua carta liga.

KDA FC yang melancarkan serangan sebaik perlawanan bermula mendapat peluang terbaik seawal minit ke-7 dan 9 melalui percubaan kapten Syazwan Zainon namun percubaannya gagal menewaskan penjaga gol Mamadou Samassa.

Kedua-dua pasukan berbalas serangan untuk memburu gol pembukaan namun gagal membuahkan hasil.

Kemasukan pemain sayap Syafiq Ahmad pada babak kedua berjaya menukar rentak permainan dengan meyaksikan Fayadh Zulkifli hampir membolosi gawang Sri Pahang pada minit ke-48 melalui larian solo sebelum percubaannya tersasar ke kiri gawang lawan.

Usaha Kedah mencari gol akhirnya berjaya pada minit ke-54 apabila bola tandukan Syafiq gagal ditangkap kemas Samassa dan kesempatan itu pantas disambar pertahanan Kedah, Celvin yang menolak masuk bola ke gawang lawan.

Tuan rumah hampir menambah gol melalui Syafiq pada minit ke-84 dan 88 namun percubaannya tersasar dan kedudukan 1-0 kekal hingga ke hujung perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 12:17 AM