PERTEMBUNGAN antara NSFC (jersi merah) dengan Penang FC di tempat lawan berkesudahan seri tanpa jaringan. FOTO Ihsan NSFC
PERTEMBUNGAN antara NSFC (jersi merah) dengan Penang FC di tempat lawan berkesudahan seri tanpa jaringan. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) akan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mendapatkan keputusan positif pada pertembungan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) FC, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Isnin ini.

Ketua jurulatih, K Devan mengakui pemain pasukannya bakal berhadapan tugas mencabar mengambil kira reputasi besar dimiliki skuad JDT dalam saingan Liga Malaysia.

Malah beliau juga sedar, prestasi skuad Harimau Selatan itu kali ini dilihat lebih mantap selepas melihat persembahan dipamerkan pasukan berkenaan dalam dua aksi liga setakat ini.

"Bagi saya, jika melihat kepada dua persembahan dipamerkan JDT, sememangnya mereka sebuah pasukan yang mantap.

"Penilaian terhadap prestasi JDT tahun ini dilihat lebih baik daripada tahun lalu.

"Apa pun kita akan beraksi di tempat sendiri dan akan menggunakan kelebihan itu untuk mempamerkan satu persembahan yang baik dan boleh dibanggakan penyokong pasukan," katanya di sini, hari ini.

Negeri sembilan belum meraih sebarang kemenangan sebaik memulakan saingan Liga Super musim ini, selepas mencatatkan dua keputusan seri iaitu menentang Sri Pahang FC di laman sendiri dan Penang FC, di tempat lawan.

Menurut Devan, beliau bersama barisan kejurulatihan pasukan itu akan membuat persiapan terbaik dan menyusun taktikal permainan, untuk memastikan tentangan baik dapat diberikan kepada pasukan juara Piala Sumbangsih 2023 itu.

Pengendali berpengalaman kelahiran Bahau itu berkata, tiada perubahan besar yang bakal dilakukan dari segi barisan kesebelasan pemain kecuali memberi fokus kepada memperkasakan lagi jentera serangan.

"Kecuali Sikh Izhan (Nazrel Sikh Azman) dan Safuwan Baharudin yang belum pasti dapat diturunkan kerana ada sedikit kecederaan, tapi kita akan lihat tahap kecergasan kedua-dua pemain ini menjelang perlawanan itu nanti.

"Namun begitu, pemain utama lain dalam keadaan baik dan bersedia untuk menggalas tugas pasukan," katanya.

Devan berkata, sekiranya Sikh Izhan tidak dapat beraksi, beliau mempunyai pilihan antara Tauffiq Ar Rasyid Johar dengan Mohd Muhaimin Mohamad, untuk menggalas tugas menjaga gawang skuad Hobin Jang Hobin itu nanti.

Pengendali itu juga tidak menolak kemungkinan bakal menyenaraikan bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md Fauzi dalam barisan yang akan beraksi bertemu JDT.

"Kemungkinan Shahrel Fikri sudah boleh beraksi pada perlawanan dengan JDT nanti untuk menguatkan lagi bahagian serangan," katanya yang mengharapkan lebih ramai penyokong pasukan itu dapat hadir ke stadium bagi memberikan sokongan padu kepada pemain Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 2:13 PM